Sejarah: Bob Lokman sertai PAS

HARAKAHDAILY | .

BOB LOKMAN SERTAI PAS DALAM HIMPUNAN 30K PEMUDA PAS (19 FEBRUARI 2011)

PADA hari ini dalam tahun 2011, selebriti terkenal, Bob Lokman atau Mohd Hakim Lokman telah mengisytihar penyertaannya ke dalam PAS sempena program Himpunan 30K Pemuda PAS di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut.

Himpunan ini diadakan sebagai lanjutan daripada kejayaan Himpunan 15K Pemuda PAS di Kelantan sebelumnya, iaitu himpunan-himpunan Pemuda PAS dalam rangka persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13.

Bob Lokman, seorang pelakon komedi, pengkritik seni, pengacara, penulis lirik, pencipta lagu, pengurus artis dan pelakon terkenal adalah cicit kepada ulamak termasyhur, Tok Kenali.

Beliau terkenal dengan lagu-lagu ciptaannya seperti Isabella dan Taman Rashidah Utama yang popular pada 1980-an.

Bob Lokman adalah lepasan SMKA Maahad Hamidiyah, Kajang merupakan anak saudara kepada Ustaz Mawardi Ahmad, bekas Adun PAS Lundang, yang juga bekas Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan.

Beliau yang dilahirkan dalam tahun 1961 di Kubang Kerian telah menyerahkan borang keahlian PAS kepada Dato' Seri Ustaz Azizan Abdul Razak yang juga Menteri Besar Kedah.

Program Himpunan 30K Pemuda PAS ini telah bermula di sebelah pagi pada 19 Februari 2011 dengan perasmian oleh Pesuruhjaya PAS Kedah, Dato' Seri Ustaz Azizan, yang diikuti oleh sesi Motivasi Pilihan Raya Pemuda dan acara-acara lain, sebelum ditutup oleh Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa.

Pada sebelah malam, satu program Munajat Perdana yang dipimpin oleh Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat telah diadakan sebelum satu Ceramah Perdana yang membariskan pimpinan utama PAS.

Ketika merasmikan himpunan ini, Ustaz Azizan telah memuji semangat juang Pemuda PAS dalam mempertahankan kerajaan-kerajaan PR, terutama Kerajaan Kedah dan Kelantan yang dipimpin oleh PAS.

Beliau sangat bersyukur kerana pemimpin terdahulu berjaya melahirkan para pejuangan muda PAS sebagai benih-benih untuk melanjutkan perjuangan PAS pada masa akan datang.

Sementara itu, Bob Lokman dalam kenyataannya berkata, beliau menyertai PAS setelah melihat adanya masalah dalam sistem kehidupan beliau, terutama kegagalan beliau mendidik anak- anak dalam sistem sekular.

Bagi beliau, menyertai PAS adalah pilihan terbaik kerana dapat berjuang menegakkan Islam sebagai satu kewajipan.

Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
19 Februari 2016 - HARAKAHDAILY 19/2/2016

Share on Myspace