Terima kasih kerana menderma kepada saya

SALMAH MAT HUSAIN Foto RIZAL TAHIR | .

 

KOTA BHARU: Berita masalah kewangan dihadapi pelajar perubatan di Universiti Zaqaziq Mesir, Nor Atiqah Mamat yang disiar Harakah sebelum ini mendapat perhatian orang ramai.

“Ada yang menderma RM5 dan RM10. Ada juga bagi RM100. Malah ada juga sumbang RM3,000. Sumbangan itu jika dicampur kesemunya hampir RM50,000.

“Lebih terharu lagi seorang doktor dari Sabah menderma sebanyak RM10,000,” kata bapa pelajar terbabit Mamat Zakaria, 50.

Baru-baru ini Harakah dan Harakahdaily memaparkan rayuan bapa pelajar terbabit yang memohon sumbangan sebanyak RM100,000 bagi melangsaikan tunggakan hutang anaknya di universiti.

Mamat berkata masalah dihadapi anaknya menarik perhatian pembaca Harakah di seluruh negara.

Menurutnya hasil sumbangan orang ramai dan pinjaman yang dilulus Skim Bank Mara berjaya dikumpul sebanyak RM90,000.

Kata beliau juga kelulusan pinjaman Skim Bank Mara membolehkan Nor Atiqah

melunaskan pembiayaan pengajian selama setahun iaitu RM35,000.

“Anak saya hanya memerlukan RM10,000 lagi melunaskan kesemua hutangnya dengan universiti. Bayaran tertunggak itu perlu dijelaskan sebelum konvokesyen 2 Mac ini,” katanya.

Nur Atiqah pula memberitahu beliau lulus peperiksaan akhir dan keputusannya diketahui akhir Januari lalu.

Katanya juga beliau akan ke Mesir pada 20 Februari ini sebagai persediaan majlis konvokesyen pada awal Mac.

“Saya amat terharu di atas pengorbanan penderma dan orang ramai yang membantu saya. Terima kasih tidak terhingga saya ucapkan,” ujarnya.

Orang ramai yang berminat membantu bakal doktor tersebut boleh menyumbang melalui Maybank 105046179128 atas nama Mamat Zakaria atau hubungi talian 019 2532484. – HARAKAHDAILY 19/2/2016

Share on Myspace