P'raya tentukan masa depan negara, anak cucu kita

KHAIRUL AZLAM MOHAMAD | .

KUALA TERENGGANU: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengingatkan semua rakyat agar tidak ‘menjual’ diri dan maruah setiap kali menjelang pilihan raya.

Ini kerana, katanya pilihan raya itu bakal menentukan masa depan negara dan kepentingan dalam memilih kerajaan yang boleh memerintah.

Menurutnya, mana-mana kerajaan yang memerintah mesti berlaku adil kepada semua rakyat tanpa mengira kaum dan agama.

“Islam mengajar kita bahawa bumi ini adalah bumi Allah. Semua makhluk-makhluk Allah adalah hambaNya. Barang siapa yang memerintah negara mesti adil kepada semua penduduk dan isi negara itu tidak kira kaum.

“Inilah yang diajar kepada kita dan kita hendak tunjuk dan kita telah tunjuk semasa kita  memerintah.

“Cuma kita hendak sambung tidak boleh sebab tahun 2004, kita (kerajaan PAS) jatuh dengan sebab pilihan raya banyak tidak betul, banyak menyeleweng dan banyak guna pitis (wang).

“Kita kena sedar dalam pilihan raya ini jangan kita jual diri kita, jual maruah kita. Pilihan raya ini kita tentukan masa depan negara kita, anak cucu kita masa akan datang supaya memilih kerajaan yang betul-betul boleh memerintah,” tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Pejabat Penyelaras Parlimen PAS Kuala Terengganu dan Dewan Himpunan Penyokong PAS Kawasan Kuala Terengganu, di Jalan Banggol, Kuala Terengganu, semalam.

Ustaz Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang turut mengingatkan bahawa tanggungjawab kerajaan tidak boleh menyalahgunakan kuasa dan harta rakyat.

Justeru, katanya yang membezakan PAS dengan parti-parti lain dalam masalah politik turut mengambil kira hitungan dosa dan pahala.

“Kerajaan tidak boleh menyalahgunakan kuasa, menyalahgunakan duit rakyat, harta rakyat. Kita hendak kerajaan yang adil, kerajaan yang ada tanggungjawab.

“Parti kita (PAS) adalah parti yang ada hitungan dosa pahala dalam masalah politik. Itu yang membezakan kita (PAS) dengan parti lain,” jelasnya di hadapan lebih 500 hadirin.

Kehadiran beliau dan isteri To’ Puan Seri Zainab Awang disambut dengan tarian singa sempena Tahun Baharu Cina 2016 yang disambut meriah.

Harakahdaily dimaklumkan, sebanyak 100 keping angpau diagih-agihkan kepada warga emas kaum Tionghua serta jamuan rakyat disediakan oleh PAS Kawasan Kuala Terengganu.

Hadir sama pada majlis itu, Pesuruhjaya PAS Terengganu, Ustaz Satiful Bahri Mamat, Timbalan Pesuruhjaya PAS I dan II Terengganu, Dr Alias Razak dan Yahaya Ali, Setiausaha PAS Terengganu, Muhyidin Abdul Rashid, Bendahari PAS Terengganu, M Shukrimun Shamsuddin, Yang Dipertua PAS (YDP) Kawasan Kuala Terengganu, Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah dan Ketua Pemuda PAS Terengganu, Ustaz Kamaruzzaman Abdullah.

Selain itu, Pengerusi Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Terengganu, Dr Bala Chandran Gopal Krisnan dan Ketua DHPP Kawasan Kuala Terengganu, Jefri Chua antara yang hadir. - HARAKAHDAILY 19/2/2016

Share on Myspace