Surat terbuka buat ayah, ibu peneroka Felda Terengganu

HARAKAHDAILY | .

Assalamualaikum...
Ke hadapan ibu dan ayah peneroka Felda Terengganu sekalian,
Izinkan anakanda berbicara seketika...

Ayahanda dan Ibunda warga Peneroka Felda Terengganu, janganlah kalian bimbang, kami GENERASI dengan tujuan tersemat di dalam sanubari untuk bersama seiring dengan kemajuan negara. Kami tidak muncul dengan membawa pil khayal yang merosakan anak generasi kita  di Tanah Rancangan Felda.

Kami sering naik turun berjumpa pihak pengurusan Felda dan kerajaan untuk mencari titik kebersamaan bagi mengekalkan apa yang sudah diasaskan oleh Tun Razak sejak sekian lama.

Kami tidak membawa pemikiran radikal, kami tidak membawa budaya demo di tepi jalan, kami lebih jinak dengan jalan damai.

Kami ingin bawa warga generasi pelapis Felda ke arah ketingian jati diri untuk terus meredah denai dan cabaran kehidupan dunia tanpa sempadan. Keseimbangan perlu dikekalkan agar tiada sejarah nanti untuk ditangisi oleh anak cucu kita semua.
 
Kami membawa wadah menerang, bukan menyerang, kami satuni isu Perumahan Generasi Baharu Felda (PGBF), isu Pesaka Harta di bawah Akta GSA yang kian rumit mencekik kami adik beradik, apatah lagi ada di antara bapa-bapa kami punyai isteri-isteri dan beradik tiri kami yang ramai. Pembagian pesaka menjadi rumit.

Masalah gejala dadah yang sudah membarahi warga belia Felda, bagai tiada kesudahan, sosial ekonomi hiliran untuk kami bagai tidak pernah direncanakan perancanganya. Penyenaraian FGV ke BSKL  yang kian meresahkan kedudukannya, kami semua mahu jalan penyelesaian, kami bukan menambah kerosakan.   

Oleh itu, tidak perlulah ayahanda dan bonda berpanas terik dibaham mentari hanya nak menunjukkan kita sedang berpecah sesama Melayu warga Felda, kami punyai niat yang baik, kenapa perlu lahirkan ketakutan.

Insya'Allah jika GENERASI dipelawa untuk duduk bersama-sama 15 NGO lain di bawah Gabungan Wawasan Generasi Felda (GWGF) kami dengan berbesar hati menerimanya. Kita perlu kesatuan Melayu warga Felda yang kukuh, padu dan berwawasan untuk bersama menyelamatkan Felda agar terus gah di persada dunia.

Semoga ayah dan ibu semua merestui pejuangan kami ini.

Naraza Muda
Pengerusi Generasi Terengganu / Timbalan Presiden Generasi Malaysia
19 Feb 2016 - HARAKAHDAILY 19/2/2016

Share on Myspace