Kerah keluarga bersama perjuangan Islam - Nuridah

FARHANI FUAD | .

BUKIT MERTAJAM: Muslimat perlu berperanan mengerah seluruh ahli keluarga untuk bersama dengan perjuangan PAS, demikian seru Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia, Ustazah Nuridah Salleh.

Tegasnya, Muslimat PAS perlu mengukuhkan diri dengan ilmu disamping bergerak bersama jemaah dan mendekatkan diri kepada Allah.

"Contohilah Baginda Rasulullah SAW dalam memperjuangkan Islam, bukan hanya batang tubuh Baginda seorang, bahkan dikerahkan juga seluruh ahli keluarganya tidak kira lelaki atau perempuan," katanya dalam program Gelombang 'Akifi anjuran Dewan Muslimat PAS Negeri Pulau Pinang di PASTI Hidayatul Huda dekat Bayan Lepas semalam.

Terdahulu, beliau menghurai perkataan 'Akifi yang merupakan singkatan daripada 'Alim, Haraki dan Sufi.

Tegasnya lagi, muslimin dan muslimat perlu berganding bahu dalam menegakkan amar makruf dan nahi munkar seperti yang diperintahkan Allah di dalam al-Quran.

"Muslimat perlu pastikan seluruh ahli keluarga bersama perjuangan PAS.

"Perjuangan ini tidak berada di dalam zon selesa, perlu banyak pengorbanan dari sudut harta, jiwa, emosi dan lain-lain.

"Orang yang berjuang pasti mengetahui ganjaran yang lumayan ditawarkan oleh Allah.

"Kita mestilah menjaga hubungan dengan Allah, minta pada Allah agar dikuatkan jemaah ini, diberi kemenangan di dunia dan akhirat,"ujar beliau.

Ustazah Nuridah juga mengingatkan Muslimat PAS agar sentiasa berada di dalam program-program jamaah terutama program ilmu. – HARAKAHDAILY 19/2/2016

Share on Myspace