Gelombang ‘Akifi bakar semangat juang muslimat

NURUL ATIQAH SA’DON | .

BAYAN LEPAS: Dewan Muslimat PAS Negeri Pulau Pinang menyuntik keteguhan perjuangan di kalangan ahlinya menerusi penganjuran Gelombang 'Akifi 2.0 yang diadakan di Pasti Hidayatul Huda, Kampung Bukit, di sini semalam.

Program dengan kerjasama Lajnah Politik dan Pilihan Raya Dewan Muslimat PAS Malaysia itu berjaya mengumpul semula kekuatan ahlinya terutama dari Dun Bayan lepas yang bakal ditandingi pada PRU14 nanti.

Menerusi program tersebut, teras perjuangan Islam meliputi tiga elemen penting iaitu alim, haraki dan sufi telah dicerakinkan untuk kefahaman peserta.

Ia merujuk kepada usaha melengkapkan diri dengan ilmu, gerak kerja dan penyucian hati serta mendekatkan hubungan kepada Allah.

Antara aktiviti mengisi Gelombang Akifi adalah bacaan al-ma'thurat, sesi ta’aruf, selawat nariah, iftar jamaie, solat fardu, solat hajat, bacaan Yasin dan zikir munajat secara berjemaah.

Kemuncak program sesi taujihat oleh Ketua Muslimat PAS Malaysia, Ustazah Nuridah Salleh sebelum program diakhiri dengan sesi dialog.

Ketua Ameerah Pulau Pinang, Siti Mastura Muhammad melahirkan harapan agar program itu dapat memberikan kefahaman kepada dasar dan matlamat perjuangan PAS.

Malah katanya, menerusi sesi dialog diharap telah menjawab persoalan dan kemusykilan yang bermain dalam kalangan ahli PAS khasnya dan masyarakat umumnya.

Sementara itu, Setiausaha Lajnah Politik dan Pilihan Raya Pulau Pinang, Mazlina Jamaludin melahirkan kesyukuran dan penghargaan kepada semua pihak yang telah bertungkus lumus menjayakan program tersebut.

“Semoga bantuan kecil kita dalam menggerakkan jemaah PAS ini diambil kira oleh Allah sebagai amal kebaikan dan mendapat ganjaran pahala sebagai saham menuju ke akhirat kelak,” katanya. – HARAKAHDAILY 19/2/2016

Share on Myspace