BNM mesti kekalkan prinsip bebas pengaruh politik

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) tidak boleh lari daripada prinsipnya iaitu mestilah bertindak sebagai suatu badan bebas daripada pengaruh politik," demikian menurut Bekas Timbalan Pengarah di BNM Dr Rosli Yaakob.

Katanya, sesiapa yang menjadi Gabenor BNM mesti mewarisi organisasi supaya ia berjalan dengan baik sekiranya dikendalikan oleh gabenor yang telus.

"Saya setuju dengan apa yang disebut Dr Zeti siapa yang menjadi gabenor boleh laksanakan tugas dengan baik kerana BNM salah satu lembaga dalam negara yang kukuh dan kuat keamanahan, pentadbiran yang baik dan transparensi," ujar beliau kepada Harakahdaily.

Tambahnya, calon-calon gabenor yang ada kaitan dengan politik atau pernah menjadi ahli politik tidak sesuai untuk menjawat jawatan itu.

Hal ini kerana, katanya, dalam keadaan sekarang macam-macam boleh berlaku hatta calon yang ada kerjaya politik pun boleh dilantik sewenang-wenangnya.

"Kita dapati pengalaman negara-negara lain apabila bank negara dipengaruhi kuasa politik sistem perbankan mereka dikira menjadi rosak seperti Afrika. Untuk tentukan wujudnya kestabilan ekonomi BNM wajar dikekalkan bebas daripada politik," tegas beliau.

Rosli berkata, tradisi bermula selepas Allahyarham Tun Ismail Ali yang merupakan anak Malaysia pertama dilantik sebagai gebenor malah beliau merupakan orang di kalangan bank itu sendiri.

"Apa yang saya lihat daripada tradisi ini pengganti gabenor boleh di kalangan orang BNM sendiri ataupun daripada luar bermakna calon luar yang tidak bekerja dengan bank pun boleh dipertimbangkan," katanya.

Justeru beliau beranggapan individu yang akan dilantik nanti adalah orang yang boleh diterima oleh Perdana Menteri malah sudah tentu boleh bekerjasama dengan beliau.

"Orang macam ini tidak ada di BNM tetapi ada di luar BNM," tambah beliau.

Rosli berkata demikian mengulas kenyataan Gabenor BNM Tan Sri Dr Zeti Akhtar yang menjangka tidak akan menyambung jawatannya selepas April ini. – HARAKAHDAILY 19/2/2016

Share on Myspace