Khidmat Malaysia lahirkan pelatih berkebolehan

NUR HASMIRA MOHAMAD|FOTO WAN ZAHARI | .

HULU LANGAT: Seramai 400 peserta dari seluruh negara telah menyertai Perkhemahan Perdana, Khidmat Malaysia yang diadakan Kingfisher Resort, di sini.

Pengerusi Khidmat Malaysia, Datuk Iskandar Abdul Samad ketika ditemui berkata program tersebut diadakan adalah untuk melahirkan pelatih-pelatih berkemampuan dan berkebolehan ketika berhadapan dengan kemalangan mahupun bencana alam.

"Perkhemahan ini bertujuan untuk melatih mereka dalam empat bidang iaitu paramedik, pengurusan bencana, menyelamat di dalam air dan radio amatur," katanya selepas para peserta diberi taklimat.

Timbalan Ketua Pengarah 1, Khidmat Malaysia, Muhtar Suhaili berkata, visi utama Khidmat Malaysia adalah menjadi organisasi pengurusan penyelamat, bantuan dan pemulihan bencana dan kecemasan yang terkehadapan di peringkat nasional dan antarabangsa.

Tambahnya, misi mereka bukan hanya tertumpu kepada melahirkan pasukan berkebolehan sahaja malah juga dipercayai, profesional, mahir dan memberi kesejahteraan kepada masyarakat sejagat.

Para peserta yang hadir akan diberi pendedahan dan diajar tentang bagaimana memberi bantuan ketika berhadapan bencana dan kemalangan.

Sedikit taklimat diberikan kepada para peserta sebelum program dimulakan.

Program tersebut berlangsung selama dua hari bermula hari ini. - HARAKAHDAILY 19/2/2016

Share on Myspace