Berhijab: Tahniah kepada pelakon cilik Mia Sara

HAFEZ SABRI | .

Baru-baru ini viral di media cetak dan elektronik perihal keputusan pelakon cilik Mia Sara Nasuha (11 tahun) untuk terus kekal dengan imej berhijab seusai pulang dari tanah suci Mekah bagi mengerjakan ibadah umrah.

Tahniah Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) ucapkan kepada adik Mia Sara atas perubahan yang dilakukan. Sememangnya tindakan dan keputusan untuk berhijab ini amat baik dan merupakan satu kewajipan seorang wanita yang beriman kepada Allah SWT.

Kita mengharapkan dengan perubahan dan penghijrahan artis-artis dalam industri seni tanah air ini sedikit sebanyak dapat membawa momentum perubahan yang positif kepada masyarakat dalam memahami, menghayati dan mengamalkan cara hidup Islam dengan lebih sempurna dan menyeluruh.

Justeru, disisipkan peringatan untuk kita semua:

1. Islam sebagai Ad-Din

Islam adalah satu-satunya agama yang diiktiraf di sisi Allah. Syariat yang digariskan adalah secara dasarnya bagi menjaga maslahat yang lima iaitu menjaga agama, nyawa, akal, keturunan dan harta.
 
Firman Allah dalam surah Ali Imaran ayat 85 yang bermaksud: “Barang siapa mencari agama selain Islam, tidak akan diterima daripadanya dan dia di akhirat kelak termasuk orang yang rugi”.

Islam adalah peraturan hidup yang mengatur kehidupan manusia disampaikan oleh Nabi Muhammad SAW melalui perantaraan wahyu Al-Quran dan telah dihayati oleh baginda Rasul dalam kehidupan dan menjadi teladan yang baik bagi seluruh umat.

Manusia tidak akan sesat selagi berpegang kepada kedua-dua peninggalan ini seperti mana sabda Rasulullah SAW sendiri yang bermaksud: “Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang mana kamu tidak akan sesat selagi kamu berpegang kepada kedua-duanya, iaitu Al-Quran dan sunnah Rasul”. (Riwayat Bukhari)

2. Rahmat Allah itu luas

Rahmat Allah kepada hamba-Nya sangatlah luas. Tiada had dan tidak terbatas. Firman Allah dalam surah Al-A'raf ayat 156 yang bermaksud: “Dan, rahmat Ku meliputi segala sesuatu”.

Firman Allah lagi dalam surahYusuf ayat 87 yang bermaksud: “Jangan kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat Allah, melainkan kaum yang kafir.”

Berikut adalah sebahagian ayat-ayat yang menunjukkan kepada kita tentang besarnya rahmat Allah yang disebutkan dalam Al-Quran. Mudahnya untuk difahami bahawa agama Islam ini adalah agama rahmat. Tidak ada yang tertindas dek kerana memilih untuk patuh dan tunduk kepada ajaran agama.

3. Seruan kepada artis dan peminat

Kita dapat melihat para artis semakin hari semakin ramai yang memilih untuk berhijrah ke arah yang lebih baik. Momentum perubahan dan kebaikan ini perlu kepada sokongan, baik dari pihak industri, artis mahupun peminat.

Firman Allah dalam surah Al-Hadid ayat 16 yang bermaksud: “Belum tibakah waktunya bagi orang-orang yang beriman,untuk secara khusyuk mengingat Allah dan mematuhi kebenaran yang telah diwahyukan (kepada mereka) dan janganlah mereka (berlaku) seperti orang-orang yang telah menerima kitab sebelum itu, kemudian mereka melalui masa yang panjang sehingga hati menjadi keras. Dan banyak diantara mereka menjadi orang-orang fasik.”

Justeru, saya menyeru kepada para artis untuk terus istiqamah dalam mempelajari dan mendalami ilmu agama dan istiqamah dalam sesuatu amalan kerana Allah suka pada perkara yang dilakukan oleh hambaNya secara berterusan walaupun perkara itu kecil.

Saya juga menyeru kepada pihak industri seni untuk lebih menjaga nilai-nilai hidup beragama dan moral dalam setiap karya seni yang mendatang. Ini supaya angin perubahan dan kebaikan ini dapat dirasai oleh semua kakitangan dan masyarakat seluruhnya.

Para peminat juga dinasihati agar berdiri bersama-sama dan memberikan sokongan kepada para artis yang menyatakan hasrat untuk berhijrah, juga menghormati keputusan artis itu kerana ia suatu keputusan yang baik dan selari dengan kehendak Islam.

Tuntasnya, kita semua perlu berperanan agar rahmat Islam dapat dirasai oleh seluruh masyarakat di dalam serta luar negara.

Semoga Allah mengampunkan kita dan mengukuhkan hati kita atas landasan ajaran agama Islam yang sempurna ini. - HARAKAHDAILY 20/2/2016

Penulis ialah Pengerusi Lujnah Dakwah Dewan Pemuda PAS Malaysia juga Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Perak.

Share on Myspace