Isu pengambilan pekerja Bangladesh yang ditangguh

HARAKAHDAILY | .

Pengumuman Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bahawa kerajaan akan menangguhkan pelaksanaan MoU membawa masuk 1.5 juta pekerja Bangladesh adalah satu kejayaan bagi perjuangan rakyat prihatin yang telah bangkit menegur dan membantah.

PAS sendiri telah mengambil langkah sejak awal lagi untuk menasihati, menegur dan membantah kebergantungan negara kepada pekerja asing.

Alhamdulillah, suara rakyat didengar dan harapnya kerajaan tidak lagi terlalu bergantung kepada pekerja asing.

Lantaran lambakan warga asing ini bukan sahaja menjadi malapetaka terhadap sosio ekonomi negara bahkan mengancam tahap keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat.

Sebenarnya langkah kerajaan yang menangguhkan dasar ini hanya setelah beberapa hari selepas mengumumkan perlaksanaannya memperlihatkan ketidakcekapan kerajaan dan kegagalan pihak kementerian terlibat  menyediakan dasar pekerja asing yang mapan dan bersesuaian dengan aspirasi rakyat.

Hakikatnya dasar yang telah dibuat ini sukar dipertahan dan dijelaskan apabila berdepan kritikan rakyat dan aktivis kumpulan sivil.

Ini kerana polisi yang dirangka dilihat lebih bersandarkan kepada keuntungan kutipan levi semata-mata dan gagal mengambil kira kesannya secara holistik.

Namun rakyat masih berwaspada apakah penangguhan ini sekadar bermaksud meredakan kemarahan rakyat atau benar-benar kerajaan mula menyedari kesan negatif  dengan tahap kebergantungan kerajaan yang keterlaluan terhadap warga asing.  

Bagaimanapun, PAS terus komited untuk menasihati dan menegur kerajaan agar tidak memperjudikan masa depan rakyat dan negara hanya kerana mengharap keuntungan sementara.

Komitmen PAS dalam mewujudkan check and balance adalah melibatkan segala isu termasuklah isu membawa masuk warga asing dengan kadar jumlah yang begitu besar.

Selayaknya keutamaan diberikan kepada rakyat dan negara ke arah melahirkan negara Malaysia yang sejahtera.

NASRUDIN HASSAN
Ketua Penerangan PAS Pusat - HARAKAHDAILY 20/2/2016

Share on Myspace