Pekerja asing: Warga sendiri seperti dianaktirikan

NUR HASMIRA MOHAMAD | .

KUALA LUMPUR: Ketaksuban kerajaan terhadap kemasukan 1.5 juta warga Bangladesh ke negara ini adalah tidak disenangi oleh banyak pihak yang majoritinya warganegara ini tidak bersetuju dengan tindakan kerajaan tersebut.

Ada yang mendakwa tindakan kerajaan ini dilihat seperti menganaktirikan warganegara sendiri sehingga sanggup menerima kemasukan warga asing itu ke negara ini meskipun disedari oleh kerajaan bahawa kebanyakan mereka banyak menyumbang kepada peningkatan jenayah di negara ini.

Tinjauan Harakah di sekitar ibu kota, Kuala Lumpur pada 18 Februari lalu mendapati ada segelintir warga asing yang sedang melepak di kawasan sekitar Medan Pasar dan ada di antara mereka sedang sibuk berurusan dengan kedai-kedai di sekitar kawasan tersebut.

Lebih mengejutkan, hasil tinjauan krew Harakah juga mendapati terdapat beberapa buah kedai makan, kedai pakaian dan kiosk alatan komunikasi sedang galak beroperasi di kawasan tersebut yang terkenal dengan tempat tumpuan pelancong.

Pak Din Relai, 67, bekas pesara tentera dari Cheras berkata, warga Bangladesh adalah antara mereka yang terpelajar datang ke sini.

Sungguhpun begitu, kehadiran mereka ke sini tidak lagi ingin bekerja sebagai buruh sebaliknya kebanyakan mereka lebih suka jadi majikan.

"Sekarang, sudah banyak kedai di sekitar ibu kota ini dibuka oleh Bangladesh. Sebaris sana penuh dengan kedai makan warga Bangladesh dan yang bagusnya tentang warga Bangladesh ini mereka menyokong antara satu sama lain, modal dikongsi untuk buka kedai di sini," katanya.

Bantah keras

Beliau yang bekerja sebagai Pengawal Keselamatan Bangunan bagaimanapun membantah sekeras-kerasnya usaha kerajaan yang ingin lagi menerima kemasukan 1.5 juta warga Bangladesh ke negara ini.

"Ramai gelandangan yang tidur di sini adalah warga tempatan, majikan boleh tawarkan gelandangan ini pekerjaan, kenapa mereka tak boleh buat? Tapi masih lagi nak masukkan warga asing ke sini," tegasnya lagi.

Azlan Samin, 51 seorang pemandu van berpendapat, Kuala Lumpur kini dilihat seperti negara asing apatah lagi kerajaan nak menerima kemasukan 1.5 juta warga asing lagi.

"Kalau kita ambil lagi sekarang, mereka akan memberi banyak krisis kepada negara. Warga asing yang ada sekarang ini pun dah ramai, ini kita nak tambah lagi. Kakitangan kerajaan pun tak cukup sekarang untuk menjalankan operasi membanteras warga asing. Dah nak tambah lagi 1.5 juta!"

Beliau berkata antara krisisnya ialah penyakit yang dibawa oleh warga asing ke negara ini ditambah pula dengan sikap kebanyakan warga asing yang pengotor dan tidak berdisiplin.

"Cuba lihat di sekitar tiang-tiang di ibu kota ini, penuh dengan warna merah kesan ludahan sirih yang dimakan oleh mereka. Kotor tu."

Ujarnya lagi, penawaran gaji yang kurang memuaskan kepada warga tempatan adalah antara faktor yang menyebabkan warga negara ini tidak berminat dengan pekerjaan yang ditawarkan atas kerana banyak tanggungan yang terpaksa dipikul.

"Warga tempatan, pertama mereka perlu bayar sewa rumah, kenderan ke tempat kerja. Itu pun dah perlukan RM500 hingga RM600 sebulan. Belum lagi yang dah berkahwin. Warga asing? Mereka semua ditanggung oleh majikan asrama disediakan sebagai tempat penginapan, memanglah mereka juga perlu keluarkan duit untuk bayar "levi" tapi tak seteruk warga tempatan." - HARAKAHDAILY 20/2/2016

Share on Myspace