Pesalah jalan raya: PAS hantar surat mahu jumpa KPN

KHAIRIL ABDUL RAHIM | .

KUANTAN: Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pihaknya telahpun menghantar surat kepada Ketua Polis Negara (KPN) bagi memohon satu pertemuan.

Katanya, tindakan tersebut bagi mendapatkan penjelasan berkaitan kenyataan KPN untuk menaikkan denda kepada pesalah-pesalah jalan raya baru-baru ini.

"Ini memang merupakan pendekatan PAS yang bukan saja terus responsif tetapi juga bertemu dengan memberi cadangan penyelesaian.

"Tindakan ini samalah juga dengan PAS bertemu dengan pihak Tabung Haji dulu apabila timbul isu penyelewengan dan kemerosotan simpanannya," katanya ketika merasmikan Dialog Rakyat Bersama Pemimpin PAS di Hotel Seri Malaysia di sini, pagi ini.

Program anjuran Lajnah Dakwah PAS Pahang ini turut melibatkan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Setiausaha Majlis Syura Ulamak, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh, Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Datuk Mustafa Ali dan Pesuruhjaya PAS Pahang, Ustaz Rosli Abdul Jabar. Turut hadir ialah Pengerusi Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP), N Balasubramaniam.

Masyarakat bukan Islam turut menyertai majlis tersebut. - HARAKAHDAILY 20/2/2016

Share on Myspace