PAS tak akan tutup sekolah Cina malah menaik taraf

KHAIRIL ABDUL RAHIM | .

KUANTAN: Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang memberi jaminan tidak akan mengubah perlembagaan Malaysia jika PAS diberi kesempatan memerintah negara.

Menjawab soalan Pengerusi Persatuan Taoisme Pantai Timur, Datuk Chew Yan Han, beliau berkata, apa yang akan dilakukan ialah meminda pada bahagian yang perlu.

Kata beliau, antaranya, dalam perlembagaan Islam ditulis sebagai agama rasmi yang mana maksud agama adalah 'religion' yang membawa maksud ibadat semata-mata.

"Sedangkan bagi kita Islam yang sebenar ialah ad-din, iaitu meliputi keseluruhan cara hidup," katanya pada program Dialog Rakyat Bersama Pemimpin PAS Jaminan Sosial Islam Untuk Masyarakat Bukan Islam di Hotel Seri Malaysia di sini, hari ini.

Mengenai pertanyaan adakah PAS akan memberhentikan sekolah beraliran Cina jika berkuasa, Ahli Parlimen Marang itu menjelaskan PAS menganggap bahasa ibunda merupakan asas untuk mendapatkan ilmu.

"Jadi PAS tak akan tutup sekolah Cina malah akan menaiktarafnya kerana institusi pendidikan termasuk dalam kewajiban sosial yang mesti dipenuhi kerajaan," ujarnya.

 Menjawab soalan seorang aktivis sosial Lee Chow Loo, beliau berkata PAS berpisah dengan DAP kerana parti itu ingin PAS mengenepikan hukum Islam sedangkan Islam itu asas perjuangan. - HARAKAHDAILY 20/2/2016

Share on Myspace