Mangsa banjir di Sarawak meningkat 2,869 pagi ini

BERNAMA | .

KUCHING: Hujan lebat sekali-sekala di beberapa tempat sekitar sini sepanjang malam tadi mengakibatkan keadaan banjir sejak semalam berlarutan dan sehingga pagi ini, jumlah mangsa yang berada di pusat-pusat pemindahan melonjak kepada 2,869 orang, berbanding 486 malam tadi.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Sarawak Siti Huzaimah Ibrahim berkata sebanyak 22 pusat pemindahan banjir dibuka pagi ini bagi menempatkan 2,869 mangsa daripada 779 keluarga itu.

Beliau berkata selain beberapa tempat di bahagian Kuching dan Serian, pagi ini turut menyaksikan satu lagi tempat di bahagian Samarahan terjejas akibat banjir.

Katanya setakat ini, lapan pusat pemindahan dibuka di kawasan sekitar daerah Kuching dan sembilan di daerah Bau, manakala dua di daerah Serian dan satu di Padawan.

Beliau yang dihubungi pagi ini memberitahu di bahagian Samarahan pula, satu pusat pemindahan banjir dibuka di Masjid Darul Ibadah, yang terletak di daerah Kota Samarahan, dan menempatkan 68 mangsa daripada 13 keluarga.

Menurutnya di kebanyakan tempat, air sungai kekal tinggi sebagaimana semalam. - Bernama

Share on Myspace