Dewan Ulamak PAS Selangor alu-alukan pinda Akta 355

HARAKAHDAILY | .

Berdasarkan kepada laporan akhbar pada 18 Februari 2016, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom menyatakan bahawa Akta 355 akan dipinda bagi memperkasakan lagi Mahkamah Syariah.

Pindaan itu akan meningkatkan lagi kuasa Mahkamah Syariah yang sekarang ini hanya boleh menjatuhkan hukuman terhadap kesalahan syarak terhad kepada 3 tahun penjara, 6 sebatan dan RM5,000 denda.

Dengan pindaan ini, kuasa yang lebih besar akan diberikan kepada Mahkmah Syariah yang sekali gus memberikan laluan kepada pelaksanaan undang-undang hudud.

Dewan Ulamak PAS Selangor melihat perkembangan ini sebagai suatu perkembangan yang positif bagi membolehkan Undang-undang Hudud dilaksanakan di Malaysia.

Biarpun sesetengah pihak memandang kecil pindaan ini, tetapi ia telah memberikan perkembangan yang baik untuk memperkasakan Mahkamah Syariah yang merupakan salah satu aspek yang penting dalam pelaksanaan hukum hudud.

Dewan Ulamak PAS Selangor sentiasa menyokong sebarang usaha untuk memperkasakan lagi pelaksanaan undang-undang Islam di Malaysia.

Dalam masa yang sama, Dewan Ulamak PAS Selangor turut menggesa pihak yang berkaitan untuk membincangkan hukum pampasan (diyat) yang jarang sekali diutarakan kerana masyarakat akan lebih nampak keindahan Islam dalam memberikan jaminan dan ganti rugi kepada mangsa atau keluarga mangsa apabila sesuatu kesalahan dijatuhkan.

USTAZ RIZUAN RAHMAT
Ketua Dewan Ulamak PAS Selangor - HARAKAHDAILY 21/2/2016

Share on Myspace