Dakwaan bunuh: Kes Zulkifli ditangguh 22 Mac

BERNAMA | .

KEMAMAN: Mahkamah Sesyen di sini hari ini menangguhkan sehingga 22 Mac ini, kes seorang peniaga yang didakwa membunuh dan mencederakan dua lelaki di kampung Labohan, Kerteh.

Hakim Rofiah Mohamad menetapkan tarikh tersebut sebagai sebutan kes setelah membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Asyraf Minhad untuk melengkapkan semua dokumen sebelum kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Pada 27 Dis tahun lepas, Mohamad Zulkifli Ismail, 50, didakwa membunuh Zulkefle Abdullah, 38, di kawasan rumah tidak bernombor, Kampung Labohan, Kerteh, di sini pada pukul 10.30 pagi, 7 Dis lalu.

Tertuduh, yang mempunyai tiga orang anak, didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Tiada sebarang pengakuan direkodkan bagi pertuduhan tersebut.

Sementara itu bagi pertuduhan kedua, Mohamad Zulkifli mengaku tidak bersalah menyebabkan cedera parah ke atas Faizul Awang, 31, dengan menggunakan sebilah parang di tempat dan tarikh yang sama.

Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat.

Mohamad Zulkifli diwakili peguam Ariff Azami Hussein dan Azizul Shariman Mat Yusoff. - Bernama

Share on Myspace