PAS lancar Jundi platform penulis dakwah

ABI DAMIA | .

AMPANG: Jaringan Penulis Muda Islam (Jundi) telah dilancarkan oleh Naib Presiden PAS, Datuk Iskandar Abdul Samad semasa program Konvensyen Penulis Dakwah Malaysia di Auditorium Majlis Perbandaran Ampang Jaya dekat sini sebentar tadi.

Jundi akan berfungsi melahirkan lebih ramai penulis muda dalam kalangan aktivis parti dan mahasiswa bagi menyemarakkan dunia penulisan yang semakin berkembang kini.

Berucap semasa melancarkan Jundi, Iskandar yang juga Exco Kerajaan Negeri Selangor melahirkan harapan agar peserta konvensyen mengutip seberapa banyak ilmu dan pengalaman dari dua pembentang yang ditampilkan.

Panelis antaranya, adalah penulis lebih 50 buah buku perjuangan dan motivasi, Dr Riduan Mohammad Nor yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat selain seorang lagi panelis, Wan Nordin Wan Yaacob merupakan Pemangku Ketua Pengarang Harakah yang turut pernah menghasilkan buku secara kolaborasi dengan Dr Riduan iaitu Clash Of Titans, Analisis PRU13 selain Tribute Buat Sang Pencerah.

Menurut Iskandar, bidang penulisan adalah suatu yang sangat-sangat diminati sejak dahulu apabila melihat ayahnya juga terbabit dalam bidang tersebut.

"Saya minat menulis kerana saya juga dari keluarga yang menulis. Cuma saya sekarang ini tidak sempat menulis, yang sempat menulis kenyataan media. Namun jiwa penulisan itu memamg ada dalam diri saya," katanya menceritakan lanjut pengalaman memberi motivasi kepada peserta dalam meneruskan perjuangan melalui mata pena.

Program itu dihadiri lebih 50 peserta yang kebanyakannya dalam kalangan mahasiswa dan aktivis PAS.

Jaringan Jundi ini bakal meneruskan program program berteraskan kaedah menulis rencana, berita dan buku yang akan diadakan pula di peringkat negeri selepas ini.

Jaringan Jundi juga mengalu-alukan sebarang penyertaan dari kalangan mahasiswa dan aktivis yang berminat untuk menjadi penulis.

Mengulas kewujudan Jundi, pengasas pertubuhannya, Dr Riduan berkata, pihaknya akan menganjurkan lagi seminar penulisan bagi mencari bakat-bakat baharu khasnya dalam kalangan mahasiswa.

"Walaupun dunia percetakan kini berdepan kemerosotan, namun ianya bukanlah penghalang untuk kita terus menulis dan berkarya. Menulis ini menajamkan fikiran, mengelak kita daripada nyanyuk,jadi teruskan menulis khasnya bahan bahan dakwah," katanya yang juga Pengerusi Lajnah Kebudayaan dan Kesenian PAS Pusat. - HARAKAHDAILY 21/2/2016

Share on Myspace