PAS ucap syabas pada 5 Adun PKR

HARAKAHDAILY | .

PENGERUSI Lajnah Asas Tani & Alam Sekitar PAS Pusat (LATAS), Muhammad Sanusi Md Nor ketika ditemui semalam mengucapkan syabas kepada 5 Adun PKR dari Pulau Pinang yang mengambil sikap mengutamakan kepentingan Rakyat dalam isu tambakan laut berbanding kepentingan pemaju.

Malah beliau berharap 2 Adun PKR yang dipecat dari Syarikat GLC Kerajaan Negeri itu tidak berganjak dari sikap serta pendirian itu.

"Kita tidak terkejut dengan keputusan Ketua Menteri itu. Tindakan beliau memecat Iszuree selaku Ahli Majlis kerana bercakap soal Tanah dan Kampung di Pulau Pinang juga mengundang tindakan yang sama. Kini beliau memecat pula dua Adun PKR kerana isu tambak laut."

"PAS sentiasa konsisten menentang projek tambakan laut ini lebih-lebih lagi jika ia bakal menjejaskan sumber  pendapatan Nelayan di pulau itu. Malah bersama-sama Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan Sahabat Alam Malaysia (SAM) hari ini, kami secara prinsipnya menentang projek tambakan laut ini, lebih-lebih lagi jika ia digunakan sebagai bayaran kepada konsortium projek yang terlibat di bawah Pelan Integrasi Pengangkutan Pulau Pinang(PTMP)," ujarnya sebaik sahaja selesai bermesyuarat dengan Presiden CAP/SAM, S.M Mohamed Idris serta kakitangan beliau di pejabat CAP hari ini.

LATAS Pusat bersama-sama Badan Perhubungan PAS Pulau Pinang telah beberapa kali melawat tapak projek di bawah Pelan Integrasi Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) yang dikatakan bakal menelan kos melebihi RM27 billion di pulau itu.

Malah perbincangan dan surat tindakan susulan kepada Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE) serta Jabatan Alam Sekitar(JAS) Putrajaya telah pun dihantar untuk mendesak Kajian Impak Alam Sekitar di bawah Jadual 2 Perintah Kualiti Alam Sekeliling 2015 yang bakal mewajibkan Kerajaan Negeri serta Konsortium yang terlibat untuk mengadakan Konsultansi/Pendengaran Awam sebelum projek ini mula dibina dan diluluskan JAS.

"Rakyat sangat-sangat berharap agar Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar yang baru dilantik dapat mewajibkan Konsultansi/Pendengaran Awam terhadap ke semua projek di bawah Pelan Integrasi Pengangkutan Pulau Pinang(PTMP) khususnya projek tambakan laut seluas 2 - 4 ribu ekar di selatan pulau itu serta 100 ekar di bahagian utara pulau. PAS akan gerakkan satu usaha kesedaran serta kebangkitan Rakyat untuk sama-sama membantah projek di bawah PTMP oleh Kerajaan DAP ini khususnya projek tambak laut," ujar Sanusi. – HARAKAHDAILY 21/2/2016

Share on Myspace