Noh, Umno dialu-alukan hadir majlis penerangan WCE

HARAKAHDAILY | .

AHLI Parlimen Tanjong Karang, Datuk Seri Noh Omar tidak perlu rasa bersalah dan beliau dialu-alukan menghadiri majlis penerangan Lebuhraya Pantai Barat (West Coast Expressway) atau WCE.

Majlis penerangan tersebut adalah terbuka kepada seluruh rakyat dan ini bermakna Noh dialu-alukan untuk turut bersama. Risalah menjemput rakyat telah diedarkan kepada penduduk.

Butiran majlis tersebut adalah seperti berikut,

Tarikh - 23 Februari 2016 (Selasa)
Masa - 10.30 pagi
Tempat - Dewan Dato' Hormat, Pekan Tg Karang

Turut akan diadakan adalah satu dialog.

Sebelum ini pada 7 Disember tahun lepas satu majlis penerangan dan dialog telah saya anjurkan ketika saya merupakan Penyelaras Kawasan Dewan Negeri Sg Burung.

Dijemput pada majlis tersebut adalah wakil-wakil dari Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN), Jabatan Perancangan Bandar Dan Desa Negeri, Jabatan Kerja Raya dan syarikat konsesi lebuhraya itu.

Isu utama yang dibangkitkan pada majlis itu adalah jajaran WCE akan melalui tanah-tanah orang kampung yang mengakibatkan tanah-tanah itu diambil alih.

Isu kedua adalah kemungkinan Tg Karang akan menjadi pekan mati apabila WCE tidak melalui pekan tersebut.

Walau bagaimanapun jajaran atau laluan terperinci WCE tidak dapat dibentangkan pada taklimat tersebut. Oleh itu, satu taklimat telah dipersetujui untuk diadakan pada awal tahun 2016. Majlis penerangan pada 23 Februari ini adalah taklimat tersebut.

Majlis ini bukan bertujuan untuk menyalahkan sesiapa tetapi adalah satu peluang bagi rakyat termasuk wakil rakyat untuk menyatakan pandangan.

Ingin ditegaskan di sini jajaran atau laluan muktamad WCE belum lagi dibentangkan kepada kepada LLM atau Kerajaan Pusat.

Satu pembentangan kepada Kerajaan Negeri telah dilakukan oleh LLM di dalam mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) tahun lepas. Di dalam mesyuarat itu LLM diminta untuk membentangkan semula jajaran yang baru dengan mengambil kira pandangan-pandangan mesyuarat.

LLM atau Kerajaan Pusat belum lagi membentangkan jajaran yang baru ini kepada MTES.

DATUK ISKANDAR ABDUL SAMAD
Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Kehidupan Bandar
Negeri Selangor – HARAKAHDAILY 21/2/2016

Share on Myspace