Sambutan Tahun Baru Cina PAS Pusat di Muar meriah

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: Sambutan Tahun Baru Cina anjuran PAS Pusat yang diadakan di Parit Bakar Muar Johor semalam berlangsung dalan suasana yang sederhana tetapi meriah dengan kehadiran pelbagai lapisan masyarakat.

Lajnah Perpaduan Nasional PAS Pusat yang menjadi tunjang utama menyatukan pelbagai kaum dan bangsa melalui pelbagai medium termasuklah dalam mengadakan sambutan Tahun Baru Cina ini.

Parit Bakar yang terletak di Dun Maharani menjadi tuan rumah bagi Sambutan Tahun Baru Cina pada kali ini.

Program yang bermula pukul 5.00 petang mendapat sambutan yang meriah daripada masyarakat setempat khususnya kaum Cina.

Sekitar 800 tetamu hadir termasuk tetamu kehormat Timbalan Presiden Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat Nuridah Mohd Saleh, Ketua Dewan Himpunan PAS Pusat (DHPP) N. Bala Subramaniam dan Timbalan Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional merangkap Adun Chukai Terengganu Hanafiah Mat.

Turut hadir pimpinan Badan Perhubungan Negeri Johor, termasuklah Pesuruhjaya PAS Johor Datuk Dr. Mahfodz Muhammad, Hajah Atiah dan lain-lain lagi.

Ketika menyampaikan ucapan di dalam sambutan itu Tuan Ibrahim berharap agar semua lapisan masyarakat terus bersama dengan PAS bagi menentang penindasan dan ketirisan yang dilakukan oleh Umno dan Barisan Nasional.

Dalam pada itu, Pengerusi sambutan yang juga merupakan Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS Negeri Johor, Khairul Faizi Ahmad Kamil berkata, program yang diadakan pada hari itu berjaya mencapai matlamatnya.

"Sambutan daripada masyarakat Cina hari ini membuktikan bahawa PAS masih diterima oleh masyarakat Cina dan mereka masih menyakini bahawa PAS masih mampu menjadi parti yang mewakili semua kaum" ujar beliau.

Katanya, sambutan ini bukan sahaja mendapat sokongan daripada golongan dewasa malahan anak-anak kecil daripada kalangan masyarakat Tionghua turut memeriahkan majlis yang mendapat kerjasama daripada seluruh PAS kawasan di Johor

"Penggerak PAS di semua peringkat perlu lebih berani untuk mendekati masyarakat Cina bagi membetulkan persepsi mereka kepada PAS yang diburuk-burukkan oleh pihak yang cemburu dengan perkembangan PAS," kata beliau.

PAS yang sedang memperkenalkan konsep "Budaya Politik Matang dan Sejahtera" menggunakan platform majlis dan program seperti ini bagi menerangkan peranan PAS dalam membela masyarakat berbilang bangsa dan agama.

Program ini cukup istimewa apabila pengacara majlis, seorang muslimat yang menggunakan Bahasa Mandarin sebagai bahasa pengantaraan.

Dua acara hiburan dipersembahkan sendiri oleh Khairul Faizi dan Mohamad  Ibrahim serta Hazimin (Boy).

 Di penghujung program, penyampaian saguhati kepada warga emas dan kanak-kanak sekolah. – HARAKAHDAILY 22/2/2016

Share on Myspace