DAP perlu belajar demokrasi daripada PAS

ALANG IBN SHUKRIMUN | .

SANGAT memalukan apabila sebuah parti yang menggunapakai perkataan 'demokrasi' sebagai namanya, tiba-tiba mencabul hak demokrasi dengan kuasa yang ada. Pemecatan dua orang Adun PKR daripada jawatan GLC Pulau Pinang kerana tidak bersetuju dengan usul menambak tanah dalam DUN negeri itu adalah sangat mengecewakan.

Nampaknya mereka telah mula berani mendedahkan identiti sebenar yang sekian lama berselindung di balik nama demokrasi.

Walaupun yang dipecat itu adalah rakan sendiri daripada Pakatan Harapan, mereka tidak pedulikan hal itu. Ternyata juga DAP adalah raja dalam Pakatan Harapan apabila tiada parti komponen lain yang berani menegur termasuk Presiden PKR sendiri.

Mujur Timbalan Presidennya rapat dengan PAS. Dengan tempias kejantanan yang diterima, maka adalah sedikit keberanian untuk menegur. Namun sejauh mana bidasannya itu didengar, kita tidak boleh meletakkan harapan.

Inilah sebabnya mereka sangat bencikan PAS! Kerana PAS tidak pernah tunduk kemahuan mereka. Biarpun sebelum ini banyak perkara yang dipersetujui bersama, tetapi PAS tidak boleh dibonekakan mereka.

Ketegasan PAS membawa mereka sendiri yang mengisytiharkan terkuburnya Pakatan Rakyat. Ketegasan PAS sehingga sanggup hilang ahli dan pimpinan. Tegas PAS tegas berprinsip.

Tindakan PAS ternyata tepat. Lihatlah bagaimana rakus mereka sekarang. Demokrasi yang menjadi tunjang PH dan PR dahulu pun mereka sanggup langgar sedangkan itulah harapan rakyat terhadap pembangkang, membina sebuah negara yang berdemokrasi tulen.

Tanpa PAS, parti-parti dalam PH benar-benar ditunggangi DAP. Jika dulu Anwar yang mengamalkan politiking sebegini, hari ini peranannya diambil alih DAP pula.

Sebagaimana BN, mereka menetapkan setiap wakil rakyatnya supaya bersetuju dengan setiap usul yang mereka bawa. Jika tidak, mereka boleh dikenakan tindakan disiplin. Inilah yang dipanggil undi blok.

Ketika pembangkang sering tewas dalam pengundian di Parlimen, rata-rata pemimpin dalam PH hari ini selalu menegaskan amalan undi blok itu adalah suatu yang tidak demokratik. Katanya amalan sebegitu memandulkan peranan Parlimen itu sendiri, yang seolah menjadi rubber stamp sahaja buat pemerintah.

Sepatutnya setiap wakil rakyat dari mana-mana parti sekalipun mesti bebas untuk memilih mana-mana perkara yang difikir sesuai untuk maslahah rakyat khususnya di parlimen yang mereka wakili itu.

Tetapi ketika DAP berperangai seperti BN, Sampai sekarang mereka diam membisu. Tak tahulah kalau selepas ini baru ada kritikan, tetapi membisu hingga sekarang adalah bukti kegerunan mereka terhadap DAP yang dianggap taiko besar dalam PH.

Kalau untuk mengamalkan demokrasi dalam PH pun penakut, jangan haraplah nak bawa Malaysia ke arah politik matang. Nampaknya tindakan menyisih istilah 'bersetuju untuk tidak bersetuju' yang diamalkan PR sebelum ini amat merugikan rakyat. Dua kali lima sahaja seperti BN.

Selain isu ini, sudah banyak DAP mencabul demokrasi dalam negara. Antaranya memaksa ahli PAS letak jawatan dalam kerajaan Pulau Pinang, paksa kerajaan Selangor tidak terima PAS, dan menentang pembawaan usul pindaan akta mahkamah syariah ke parlimen.

Padahal semua tindakan PAS adalah tidak bercanggah dengan demokrasi. Namun fobia mereka terhadap PAS mengatasi segala pedoman parti.

DAP patut malu dengan istilah demokrasi yang mereka pilih, sebagaimana malunya orang Islam untuk melakukan kejahatan apabila berkopiah. Mereka patutnya ubah nama kepada Dictatoric Action Party.

Mereka bukan sahaja menghina prinsip demokrasi, bahkan begitu takut kuasa mereka tergugat dengan teguran yang kontra. Pada zaman yang mengagungkan intelektual dan kebebasan berpendapat ini, apakah DAP masih membontoti perangai BN untuk membawa Malaysia memperbodohkan masyarakat?

DAP perlu belajar dari PAS. Sewaktu berada dalam BN penghujung 70-an dahulu, apabila Parlimen mengusulkan pengisytiharan darurat di Kelantan, wakil rakyat PAS tidak bersetuju. Akibatnya, PAS ditendang keluar dari kerajaan BN.

Walaupun terlalu banyak manfaat kepada Islam ketika berada dalam kerajaan dahulu, PAS menunjukkan dirinya tidak sekali-kali boleh dikongkong. PAS sebenarnya sudah tahu rancangan BN untuk merampas Kelantan daripada pengisytiharan darurat itu.

PAS mengajar erti demokrasi sebenar, sebagai jiwa anak merdeka. Islam yang menunjangi parti itu tidak membenarkan PAS dikawal oleh apa jua undang-undang yang lebih tinggi dari itu. Biarlah terbuang, asalkan teguh berprinsip. Demi Islam dan rakyat. – HARAKAHDAILY 22/2/2016

Share on Myspace