Mengharmonikan media baru dengan lebih matang

ZULHAFEEZ AHMAD ZAHIDI | .

HULU LANGAT: Jabatan IT PAS Pusat dengan kerjasama Penerangan PAS Pusat sedang mengusahakan satu unit baru untuk radio dan tv PAS sebagai satu  gerak kerja bersama dalam merealisasikan kombinasi peranan IT dan penerangan.

Pengarah Jabatan IT PAS Pusat, Suhaimi Embong berkata, semua penggerak radio dan tv yang hadir  perlu segera merumus dan membentuk struktur kerja E-Penyiaran Alam Siber (ePAS)  untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri Sarawak yang akan diadakan pada bulan April 2016  dan Pilihan Raya Umum ke-14 nanti.

Jelas beliau, rakyat perlu dihidangkan dengan wajah yang lebih harmoni dan matang melalui media baru agar memperolehi maklumat sahih dan benar dar PAS sendiri.

Beliau berkata demikian ketika program Retreat dan Bengkel Jabatan IT PAS Pusat dengan kerjasama Jabatan Penerangan PAS Pusat di Puncak Lui, Hulu Langat, 20 Februari lalu.

"Jabatan IT Negeri  dan Urusetia Penerangan Kelantan yang hadir sepenuhnya dalam retreat e-penyiaran alam siber selama dua hari ini dapat bekerjasama dengan pasukan  pusat dalam mempercepatkan gerak kerja berkaitan dengan radio dan tv.

"Usaha ini membolehkan rakyat Kelantan di dalam dan luar negeri Kelantan mendapatkan maklumat yang sebenar dari sumber rasmi.

"Semua penggerak radio dan tv yang hadir ini segera merumus dan membentuk struktur kerja EPenyiaran Alam Siber (ePAS) untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri Sarawak yang akan diadakan pada April 2016," tegas beliau kepada semua penggerak IT Negeri untuk meletakkan harapan untuk direalisasikan.

Sementara itu, beliau juga mengharapkan konsep MengITkan Penerangan, MemPenerangankan IT direalisasikan dengan baik di seluruh peringkat.

Turut hadir bersama Pengarah Jabatan IT Negeri, Pengarah Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri Kelantan serta pegawai Penerangan PAS Pusat. – HARAKAHDAILY 22/2/2016

Share on Myspace