Surat terbuka kepada rakyat dan pembangkang

HARAKAHDAILY | .

Dalam situasi tekanan ekonomi global yang serius khususnya harga petroleum yang jatuh teruk, banyak negara berada pada keadaan tertekan, khususnya negara yang bergantung kepada minyak dan gas sebagai sumber utama.

Keadaan ini mengakibatkan ribuan pekerja yang diberhentikan yang menyahstabilkan suasana sehingga mendorong pelbagai masalah tekanan hidup ke atas rakyat.

Kerajaan mempunyai tanggungjawab besar bagi memulihkan kedudukan ekonomi dan merangka satu sistem ekonomi yang pelbagai sumber, bagi membangunkan sumber utama lain. Keadaan ini tidak sepatutnya dibiar berterusan tanpa adanya suatu perancangan jangka panjang bagi mengatasi kes yang sama berulang pada masa depan.

Kegawatan politik dan polemik dalaman yang berterusan tentunya tidak membantu negara untuk keluar dari kemelut yang berlaku. Kita mengakui bahawa kepimpinanan negara yang diterajui oleh Umno BN adalah punca kepada masalah negara. Namun, perkara yang lebih penting pada waktu ini ialah membantu rakyat bagi memahami situasi yang berlaku dalam negara kini.

Kegagalan besar kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bilamana menjadikan cukai GST sebagai penyelesaian masalah dan tekanan ekonomi negara. Rakyat dicukai secara paksa manakala kerajaan terus membazir dan boros dalam perbelanjaan serta pemimpin bergelumang dengan rasuah dan salah guna kuasa.

Bukan itu sahaja, kerajaan juga mencadangkan menghidupkan AES dan baru-baru ini ada pula ura-ura cadangan menaikkan kadar saman kesalahan jalanraya. Semua ini adalah contoh-contoh ketara tindakan kerajaan dilihat tidak membantu rakyat keluar dari kemelut yang ada sebaliknya kerajaan lebih banyak menyelesaikan masalah dengan menambahkan bebanan rakyat.

Peluang pekerjaan yang dijanjikan semasa kempen PRU13 langsung hilang dari sebutan. Kini, ribuan mahasiswa menganggur dan PTPTN pula mengejar hutang daripada mereka.

Kian nyata, gagasan menukar hala tuju negara dari pertanian kepada perindustrian ternyata tidak berkesan dalam melonjakkan ekonomi negara. Wawasan 2020 yang hanya tinggal 4 tahun sahaja lagi tidak lagi kesampaian.

Sebelumnya, DEB juga gagal mencapai matlamat 30% pemilikan ekonomi Bumiputera apabila ia hanya berjaya diagihkan dalam kalangan mereka yang rapat dengan pemerintah. Semua gagasan ekonomi yang diilhamkan Umno BN gagal seperti FGVH, yang kini berubah menjadi satu mimpi ngeri buat Felda dan para peneroka.

Apakah dengan bebanan hutang negara yang mencecah RM600 billion dan isu 1MDB, isu derma RM2.6 bilion dan jutaan lagi skandal yang sedang dibongkar; persoalan kini timbul, mampukah kerajaan merencana hala tuju yang jelas bagi negara keluar dari kemelut ekonomi yang menakutkan ini?

Melihat kepada situasi yang ada, majoriti rakyat merasakan kepimpinan negara lebih banyak disibukkan dengan kerja membantu PM bagi mengatasi skandal yang melingkari beliau. Kepimpinan yang ada dilihat lebih suka membuat kerja mengampu untuk mengekalkan kuasa daripada menggembleng tenaga dalam merancang masa depan negara. Kepimpinan sebegini sudah tentu tidak lagi boleh diharapkan bagi membela rakyat dan negara.

Rakyat kini menanti PRU14 untuk melakar perubahan politik. Rakyat memerlukan peta baru dalam merangka pelan pembangunan dan masa depan negara. Umum mengetahui bahawa Umno BN gagal membela dan menyelesaikan permasalahan negara, apakah rakyat masih ingin meneruskan dan mengekalkan kerajaan yang korup ini? Jika ya, maka natijahnya nanti ialah kegagalan.

Rakyat perlu dibawa keluar dari kegelapan ini kepada cahaya masa depan. Malaysia perlu diselamatkan dan objektif ini patut menyatukan semua pihak yang sayangkan Malaysia.

Hakikatnya, semua parti pembangkang ingin menukar parti yang menerajui kerajaan kini. Malangnya hari ini, selain Umno BN, yang menambah duka dan derita rakyat ialah kecelaruan dalam kalangan parti pembangkang. Rakyat ingin melihat pembangkang bersatu, bukan saling menyerang dan melemahkan satu sama lain.

Umno BN bukan lagi menjadi penyelamat, malah ia adalah perosak. Dengan GST, Umno BN boleh dianggap sebagai parasit. Oleh itu, suatu gagasan baru mesti dibentuk.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang telah mengemukakan cadangan kerajaan teknokrat sebagai jalan keluar kepada kemelut politik pembangkang. Kerajaan Teknokrat adalah satu langkah ke hadapan bagi memberi peluang kepada tokoh dan cendekiawan negara menerajui hala tuju baru dan pentadbiran negara manakala parti dan ahli politik menjadi wadah perubahan tersebut.

Maksud kerajaan teknokrat ialah sebuah sistem pemerintahan yakni kuasa parti politik terhadap negara hanya terhad untuk melantik kalangan profesional sebagai eksekutif pentadbir negara bermula daripada Perdana Menteri hingga ke peringkat terbawah.

Sebelum ini, pemimpin parti politik yang biasa menjawat jawatan PM dan Menteri. Tetapi idea kerajaan teknokrat ini meletakkan penjawat tersebut berdasarkan kelulusan akademik tertentu yang tidak terlibat dengan pilihan raya. Kuasa politik yang didapati melalui pilihan raya hanyalah sekadar kuasa untuk melantik siapa yang sesuai dalam kalangan professional untuk mentadbir negara.

Berdasarkan sejarah politik negara, kita harus menerima hakikat bahawa bukan semua teknokrat tahu berpolitik dan bukan semua ahli politik itu berminda teknokratik.

Lantas, lontaran idea ini perlu diteroka.

Dengan Kerajaan Teknorat, polemik sempit berdasarkan persepsi semata-mata, persaingan dan penindasan atas nama perbezaan parti politik, salah guna kuasa oleh ahli politik, kediktatoran seseorang ahli politik dan cara berpolitik fitnah dan durjana dapat dikurangkan.

Kepada para pimpinan parti politik, terutamanya pembangkang: ‘We need to rise above’. Marilah berpolitik secara matang dan memikirkan ke arah gagasan besar ini sebagai suatu jalan keluar bagi masa depan Malaysia tercinta.

Untuk mencapai matlamat ini, rakyat perlu menjadi pendesak dan guru disiplin kepada pemimpin dan ahli politik agar mereka berpolitik secara matang dengan mengutamakan negara dan kesejahteraan rakyat terlebih dahulu. Konsep pembangkang juga perlu diubah. Mereka perlu dilihat sebagai rakan dialog berharga bagi membangunkan negara.

Rakyat perlu memberikan mesej kepada para ahli politik bahawa mereka perlu bekerja untuk undi kamu dan bukannya sekadar mengambil kesempatan dengan mengganggap rakyat secara automatik akan mengundi mereka jika mereka menolak satu pihak yang lain.

Tuan Ibrahim Tuan Man
Timbalan Presiden PAS
22 Februari 2016 - HARAKAHDAILY 22/2/2016

Share on Myspace