PTMP: 3 pakej projek lebuh raya dan terowong laut

HUZIR SULAIMAN | .

PAS telah dimaklumkan bahawa 3 daripada 4 pakej projek lebuh raya di bawah Penang Transportation Master Plan (PTMP) bernilai RM6.3 Billion akan dilaksanakan pertengahan tahun ini selepas Kajian Impak Alam Sekitar (EIA) diluluskan Jabatan Alam Sekitar (JAS) dalam tempoh terdekat.

PAS melalui Lajnah Asas Tani & Alam Sekitar Pusat (LATAS) telah mengemukakan bantahan rasmi kepada Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar serta Jabatan Alam Sekitar di Putrajaya pada 22 Januari yang lalu untuk membatalkan kebenaran untuk melaksanakan Kajian Awal Impak Alam Sekitar (PEIA) atas alasan ia bercanggah dengan Perintah Kualiti Alam Sekeliling yang sudah digazetkan pada bulan Ogos tahun yang lalu.

PEIA yang PAS sedia maklum tidak akan melibatkan Konsultansi Awam dan ia mirip Jadual 1 di bawah Perintah Kualiti Alam Sekeliling 2015 yang baru itu. Oleh kerana itu, PAS melalui LATAS ingin terus mendesak satu Konsultansi Awam untuk segera dilaksanakan Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Konsortium yang terlibat serta dipantau wakil Kerajaan Persekutuan khususnya untuk ketiga-tiga projek lebuhraya di bawah, antaranya ialah:

1.Persiaran Gurney ke Persiaran Tun Dr Lim Chong Eu sejauh 4.2km.
2.Tun Dr Lim Chong Eu ke Bandar Baru Air Itam sejauh 4.6km dan,
3.Tanjung Bungah ke Teluk Bahang sejauh 12km.

Ketiga-tiga lebuh raya ini juga akan dihubungkan dengan projek kontroversi Terowong Laut sejauh 6.5km dari Persiaran Gurney di pulau ke Bagan Ajam di Butterworth di tanah besar.

Bukankah kepadatan penduduk Pulau Pinang antara tertinggi di Negara ini? Wujudkah ancaman dari ketiga-tiga pakej projek lebuhraya serta Terowong Laut itu terhadap alam sekitar, industri pelancongan, perikanan, kesihatan dan keselamatan penduduk terdekat, bukit bukau, sungai serta laut?

Adakah Rakyat Pulau Pinang bakal dibebani dengan konsesi lebuh raya melalui Tol selama 30 tahun di Pulau itu? Adakah kaedah bayaran kepada konsortium atau pemaju yang terlibat melalui tambakan/tebusguna laut seluas 100 ekar di Tanjung Pinang itu satu kaedah yang baik kepada Alam Sekitar serta tidak menggadaikan kedaulatan Negeri itu?

Lebih-lebih lagi dengan adanya 2 syarikat asing dari China di dalam konsortium 5 pemaju itu. Adakah perbelanjaan yang dianggarkan melebihi RM27 billion dari projek PTMP itu sesuatu yang baik dalam keadaan kemelesetan ekonomi yang sedia ada?

Lebih-lebih lagi selepas pengumuman belanjawan defisit Kerajaan Negeri? Bukankah dana melebihi RM27 billion itu lebih wajar digunakan untuk mengurangkan kos sara hidup rakyat yang semakin tinggi di Pulau itu?

Apakah nasib golongan nelayan di utara pulau itu khususnya kesan dari projek ini terhadap ekologi hidupan laut serta akibatnya terhadap hasil tangkapan laut mereka? Bukankah Persiaran Gurney Paired Road akan dibina di atas laut di sepanjang Persiaran Gurney dan hampir dengan lokasi Nelayan?

Adakah pembangunan yang bakal dibina di atas tanah tambakan/tebusguna laut itu akan menyebabkan kenaikan kos sara hidup dan seterusnya melebarkan jurang kemiskinan penduduk di kawasan itu?

Adakah impak sosio-ekonomi  dari pembangunan di kawasan itu akan mempengaruhi golongan miskin khususnya untuk berhijrah keluar dari pulau itu ke tanah besar sehingga mewujudkan ketidakseimbangan ketara komposisi kaum atau demografi penduduk di pulau itu?

Apakah yang akan berlaku kepada bukit bukau di sepanjang laluan Batu Feringgi yang merupakan salah satu pusat pelancongan utama di Negeri itu?

Adakah Kerajaan DAP dan Pakatan Harapan di Pulau Pinang betul-betul komited untuk tidak mengikuti jejak langkah Kerajaan Gerakan Barisan Nasional sebelum ini untuk menebusguna/ menambak ribuan ekar kawasan laut di sepanjang pulau itu?

Sudahkah Kerajaan Negeri Pulau Pinang merujuk Majlis Pembangunan Fizikal Negara (MPFN @ NPPC) untuk menebusguna/menambak laut melebihi 100 ekar? Adakah pembangunan yang bakal dilaksanakan mematuhi Rancangan Struktur Negeri yang sudah diwartakan semenjak 2007?

Kenapakah laluan ke-3 di bahagian utara pulau itu ingin dibina Terowong Laut walaupun laluan pertama dan kedua antara pulau dan tanah besar adalah melalui jambatan di atas laut?.

Bukankah terbukti wujudnya begitu banyak persoalan dan kebimbangan yang ingin dibangkitkan seluruh lapisan Rakyat terhadap Kerajaan Negeri Pulau Pinang serta Konsortium yang terlibat melalui [email protected] Awam EIA?.

Satu keputusan yang tidak adil pada pandangan PAS jika seluruh lapisan Rakyat di Pulau Pinang tidak diberi peluang untuk mendapatkan penjelasan secara langsung sebelum JAS meluluskan permohonan Kajian Impak Alam Sekitar(EIA) itu khususnya terhadap ketiga-tiga projek lebuhraya dan Terowong Laut.

Walaupun spesifikasi projek di bawah PTMP ini terletak di bawah Jadual 1 Perintah Kualiti Alam Sekeliling 2015 yang tidak memerlukan [email protected] Awam dilaksanakan Kerajaan Negeri dan Konsortium yang terlibat, masih terdapat klausa yang boleh digunakan Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar untuk menguatkuasakan [email protected] Awam seperti yang tercatat dalam Perintah 3(2) Kualiti Alam Sekeliling 2015.

Pelbagai pesoalan serta kebimbangan yang dibangkitkan di atas sudah memadai buat Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar untuk mempertimbangkan serta meluluskan keperluan Konsultansi [email protected] Awam untuk kesemua projek di bawah PTMP.

PAS juga ingin mencadangkan agar spesifikasi teknikal ketiga-tiga projek lebuh raya itu serta Terowong Laut disatukan atau digabungkan melalui satu permohonan Kajian Impak Alam Sekitar(EIA) sahaja dan tidak diasing-asingkan kepada 3 permohonan EIA yang berbeza agar syarat-syarat dari Jadual 2 Perintah Kualiti Alam Sekeliling 2015 dapat dikuatkuasakan.

Dan diantara syarat-syarat itu adalah mewajibkan [email protected] Awam dengan seluruh lapisan Rakyat di Pulau Pinang. – HARAKAHDAILY 22/2/2016

(Penulis adalah Setiausaha Lajnah Asas Tani & Alam Sekitar PAS Pusat Sesi 2015-2017)

Share on Myspace