Pembentangan laporan akhir pengauditan 1MDB ditangguh

BERNAMA | .

KUALA LUMPUR: Pembentangan laporan akhir pengauditan Ketua Audit Negara terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dijadualkan esok (24 Feb) dan 25 Feb telah ditangguhkan.
    
Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Datuk Hasan Arifin berkata penangguhan itu dibuat kerana kebanyakan ahli PAC berada di luar negara termasuk mereka yang menunaikan umrah dan yang mempunyai komitmen penting.
    
"Adalah penting untuk semua ahli PAC hadir bagi mendengar pembentangan Laporan akhir pengauditan Ketua Audit Negara terhadap 1MDB berkenaan," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
    
Beliau berkata tarikh baharu bagi pembentangan laporan tersebut dijangka pada minggu pertama bulan Mac.
    
Dalam laporan sebelum ini, PAC telah menegaskan bahawa ia kini memberi keutamaan untuk mendengar pembentangan Ketua Audit Negara berhubung Laporan Akhir Pengauditan 1MDB dan menyiapkan Laporan PAC untuk dibentangkan di Parlimen secara telus dan adil.
    
PAC telah mendengar keterangan bekas Pengerusi Lembaga Pengarah 1MDB Tan Sri Bakke Mohd Salleh dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi pada 11 Feb lepas. - Bernama

Share on Myspace