Malaysia sesuai salaf atau khalaf?

ALANG IBN SHUKRIMUN | .

"USTAZ, tuhan tak ada sifat Maha Kaya ke? Tak ada pun kita belajar." Soal salah seorang pelajar saya.

Soalan yang menyentak minda. Bukan kerana tidak pernah belajar, tetapi hampir lupa kerana terlalu terikut dengan cara pengajian tauhid di Malaysia. Lebih tersentak apabila yang bertanya itu adalah pelajar dari kelas tercorot di MDQ!

Kalau begini luasnya daya fikir pelajar tahap itu, maka bagaimanakah pula pelajar di kelas yang lebih hadapan? Bagaimana pula orang yang lebih dewasa dan matang?

Jawapan ini sukar diterangkan dengan method pengajian tauhid sifat 13 atau sifat 20 yang pernah saya pelajari. Tetapi dengan method tauhid tiga, jawapannya mudah diberi.

Ini kerana tauhid 13 dan 20 hanya memfokuskan bilangan sifat-sifat tuhan yang tertentu sahaja daripada wujud, qidam hinggalah kalam atau kaunuhu mutakalliman. Sifat Maha Kaya perlu kepada rungkaian daripada sifat-sifat qiam binafisih, qudrah dan iradah.

Sedangkan tauhid tiga khususnya bahagian asma dan sifat membilang kesemua sifat tuhan yang terkandung dalam al-Quran. Maka sudah tentu akan berjumpa dengan sifat al-ghaniy (yang maha kaya).

Tetapi kalau ada orang kafir bertanyakan apakah bukti Allah itu Maha Perkasa, sudah tentu saya akan gunakan method tauhid 13 atau 20 kerana orang kafir tidak beriman dengan al-Quran!

SEJARAH

Tauhid 13 dikenali oleh umat Islam sebagai method mazhab Asyairah, aliran yang diasaskan oleh Imam Abu Hasan Asy'ari sebagai salah seorang mujaddid Islam. Ia bertujuan memperbaharui metodologi pengajian mengenal tuhan untuk berhadapan dengan berbagai keraguan berhubung sifat-sifat tuhan yang ditimbulkan oleh ahli falsafah. Perbahasannya lebih mendalam dan menjurus kepada 13 sifat utama tuhan.

Umat Islam pada waktu itu sangat obses terhadap ilmu. Mereka terkenal sebagai bangsa yang suka mendalami apa jua ilmu pengetahuan yang ada dari mana-mana tamadun yang pernah wujud dalam sejarah peradaban manusia. Mereka boleh menghadam dengan baik keterangan yang disampaikan Imam Asy'ariy.

Ulama sezamannya pula iaitu Abu Mansur al-Maturidiy menambah 7 lagi sifat maknawiyyah menjadikan sifat tuhan sebagai 20 lalu dikenali sebagai sebuah lagi mazhab akidah. Usaha dua Ulama ini telah berjaya mengekang kecelaruan yang timbul dari pengaruh falsafah, muktazilah dan orientalis.

Kedua-duanya mempunyai persamaan dari sudut mempertahankan sifat tuhan menggunakan method falsafah dan akal bagi membantu memahami nas al-Quran dan Sunnah.

Namun setelah lama, masyarakat Islam mula meninggalkan bidang ilmu dan sibuk berebut harta, pangkat dan dunia. Ini menjadikan pengajian tauhid 13 dan 20 sukar difahami orang-orang awam kerana daya dan minat mereka terhadap ilmu tidak lagi mendalam. Ada yang tersesat dalam sehingga membawa kepada syirik. Ada juga yang menokok tambah sifat yang tidak layak bagi tuhan.

Lalu bangkitlah para mujaddid agama cuba memperkenalkan metod pengajian yang lebih mudah untuk orang awam seperti manhaj Imam Ibn Taimiah. Sumbernya lebih menjurus kepada al-Quran dan Sunnah tanpa banyak terpengaruh dengan ilmu falsafah. Apa yang ada dalam nas, diterangkan sebaiknya dan apa yang tiada dalam nas tidak diada-adakan.

Maka ketiga-tiga metodologi ini telah menyumbang kepada Islam sehingga agama ini terus terpelihara di setiap zaman daripada menyeleweng. Kesemuanya ada jasa kepada Islam tanpa boleh dinafikan mana-mana pihak. Mazhab Maturidiah dan Asyairah digelar sebagai mazhab khalaf manakala gagasan Ibn Taimiah digelar mazhab salaf.

SALING MELENGKAPI

Oleh kerana kedua-dua mazhab ini adalah ciptaan manusia, maka ia tidak akan lari dari kekurangan dan kelemahan sebagaimana mazhab-mazhab fiqh yang ada. Namun begitu ia tidak menjadi sebab untuk mengkafirkan, menyesatkan atau mewahabi mana-mana pengikut mazhab tauhid ini.

Teladanilah slogan yang menjadi pedoman ribuan alim ulama:

منهج السلف أسلم ومنهج الخلف أحكم

"Manhaj salaf itu lebih selamat dan manhaj khalaf itu lebih berhikmah"

Maka di zaman akhir ini pula, apakah method tauhid yang lebih sesuai? Saya lebih cenderung kepada pegangan Imam Hasan al-Banna menerusi usul 20-nya. Beliau menganjurkan supaya diraikan kedua-dua method tersebut.

Keduanya perlu dipelajari oleh semua umat Islam tanpa prejudis supaya kelemahan-kelemahan yang ada dari dua method ini ditampung satu sama lain. Sementelah pula hari ini musuh Islam berjaya menjadikan perbezaan mazhab ini sebagai senjata pemecah belah. Jatuhnya Khilafah Uthmaniah ada kaitan dengan pertelagahan ini.

Saya gemar dengan method pengajian yang dianjurkan ketika belajar di Syria dahulu. Di Institut al-Fatah, Damsyik, mereka meraikan semua mazhab tasauf, fiqh mahupun akidah. Dalam bab akidah khususnya, saya belajar melalui kitab Aqidah Islamiah karangan bersama Dr Mustafa Khan dan Dr Mahyuddin Misto yang mengetengahkan kedua-dua metodologi mazhab. Begitu juga sebuah lagi kitab aqidah Islamiah karangan Dr Abdurrahman Habannakah, turut mengetengahkan teori kedua-dua mazhab.

Hasilnya, saya berjaya menyampaikan ilmu tauhid dengan berbagai cara. Untuk tidak menimbulkan kontroversi tidak sihat, saya menggunakan method tauhid 13 dan 20 dalam pengajaran di Malaysia. Tetapi jika timbul permasalahan yang tidak dapat diselesaikan oleh tauhid tersebut, maka saya akan merujuk kepada isi-isi methodologi tauhid tiga.

Kesimpulannya, perbezaan dua method ini hanya dari sudut methodologi pengajian. Keduanya berkongsi matlamatnya yang sama iaitu mentauhidkan Allah dengan selayaknya. Analoginya sama seperti menyelesaikan masalah matematik. Ada yang guna jalan kira melintang, ada yang ke bawah, ada yang mengguna sempoa, ada yang mengikut method mesir purba dan ada mengguna cara india.

Apapun jalannya, jawapan yang diperolehi adalah sama sahaja! Tiada yang memperoleh hasil 1 tambah 1 selain 2. Cuma mendapatkan 2 itu, masing-masing punya cara sesuai dengan keadaan tersendiri.

Menurut sahih Muslim, di zaman nabi SAW, baginda SAW ada menguji iman seorang hamba perempuan. Ditanya di manakah Allah, hamba itu menunjuk ke langit. Lalu Rasulullah memerintahkan dia dibebaskan kerana bagi baginda, beliau telah beriman.

Maka apakah Rasulullah seorang mujassimah dengan dakwaan menetapkan tempat bagi tuhan? Apakah baginda juga ahli bidaah? Tidak. Bahkan baginda mengajar kita bagaimana memilih method yang sesuai dengan tahap akal seseorang.

Diriwayatkan juga di zaman Nabi sebelum dibangkitan Rasulullah SAW, ada seorang yang pendek akalnya telah berdoa kepada Allah kerana gembira hujan telah turun.

"Ya Allah. Aku sangat bersyukur hari ini. Dikau sangat mulia. Di manakah keldaimu, aku akan berkhidmat sebagai penarik tali keldaimu sekarang untuk membalas jasamu."

Orang ramai yang marah mendengarkan kata-kata menyamakan tuhan dengan manusia itu segera mendapatkannya, tetapi Nabi tersebut menghalang dan menyatakan.

"Biarkan dia. Sesungguhnya akalnya tidak berjaya untuk memikirkan tentang Allah lebih dari itu."

Berlapang dadalah. Banyak lagi yang perlu difikir. Bukan berbalah mana lebih betul. Tapi fikirkan macamana nak betulkan iman ummah menggunakan pilihan method yang ada. Khilaf umat adalah rahmat. – HARAKAHDAILY 23/2/2016

Share on Myspace