Masyarakat Cina diugut jika hadir program PAS

M ZIN | .

TANAH MERAH: Biarpun kaum Cina diugut mahu disisih daripada mendapat bantuan kerajaan BN sekiranya hadir program anjuran PAS, namun ia tidak mematahkan semangat mereka.

Ini dibuktikan program sambutan Tahun Baru Cina anjuran kerajaan negeri yang diadakan di Dewan Majlis Daerah Tanah Merah baru-baru ini mendapat sambutan menggalakkan.

Masyarakat Cina terutamanya warga emas dan budak-budak memenuhi dewan. Mereka diraikan dengan jamuan makan malam dan penyampaian angpau oleh Menteri Besar Ustaz Datuk Ahmad Yakob.

Turut hadir masyarakat Siam dan penduduk Melayu tempatan. Hadir sama anggota-anggota Exco kerajaan negeri Datuk Anuar Tan Abdullah, Datuk Abdul Fattah Mahmood, Datuk Nassurudin Daud.

Selain itu Penyelia Dun Gual Ipoh, Wan Yusoff Wan Mustafa dan Ketua Jajahan Tanah Merah, Nor Azman Abdul Ghani.

Seorang penduduk Tionghua memberitahu masyarakat Cina pada awalnya bimbang untuk hadir pada program anjuran kerajaan negeri itu kerana khuatir mereka disisih.

“Kami di sini menjadi serba salah kerana diugut pemimpin Umno supaya tidak hadir pada program anjuran PAS,” katanya ketika ditemui di sini.

Beliau mendakwa Umno meneruskan budaya ugut supaya masyarakat Cina takut untuk hadir program anjuran PAS atau kerajaan negeri.

Bagaimanapun kata beliau ugutan tersebut tidak menghalang mereka hadir beramai-ramai pada program sambutan Tahun Baru Cina yang diadakan di sini malam Sabtu lepas. – HARAKAHDAILY 23/2/2016

Share on Myspace