Lebuh raya: Dialog terbuka boleh nilai suara rakyat

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Dialog terbuka cadangan Projek Lebuh raya Pesisiran Pantai Barat (WCE) diadakan bagi membolehkan semua pihak menilai sendiri suara dan kehendak rakyat.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bandar dan Kehidupan Bandar Selangor, Datuk Iskandar Abdul Samad, berkata amalan mendengar pendapat rakyat sebelum melaksanakan projek dibuktikan kerajaan negeri terhadap satu projek lebuh raya tidak berapa lama dahulu.

“Sebenarnya kerajaan negeri memang menunggu cadangan jajaran daripada LLM kerana tahun lepas mereka bentangkan di Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) dan kita beri banyak komen yang perlu dia betulkan.

“Bila lama sudah tak dimuktamadkan dan penduduk juga tanya status isu ini, saya berikan dialog dengan wakil penduduk pada 7 Disember lepas apabila ketika itu saya adalah penyelaras Dun Sungai Burung tetapi dia tak boleh bagi perinciannya. Mereka minta masa dua bulan.

“Jadi hari ini selepas dua bulan, kita buat sekali lagi dan nampaknya masih cadangan sama juga dibentangkan cuma kali ini kita buat secara terbuka sebab kita nak dengar daripada rakyat dan kita juga nak LLM juga dengar sendiri dari rakyat,” kata Iskandar dipetik Selangor Kini.

Katanya, amalan itu berbeza dengan pendekatan Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Seri Noh Omar yang hanya mengadakan dialog bersama LLM dengan disertai beberapa pemimpin Umno dan beberapa pemimpin setempat.

“Seperti saya, takkanlah saya nak berbincang dengan tiga atau empat orang tetapi kita kena dengar pandangan rakyat sebab isu ini melibatkan rakyat,” katanya lagi.

Majlis dialog dihadiri hampir 100 penduduk khususnya penduduk di Kampung Sungai Gulang-Gulang dan Kampung Sungai Tengi Kiri, Tanjong Karang.

Share on Myspace