Sokongan rakyat bukan Islam kukuh bersama PAS

MOHD PRASAD HANIF | .

Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi pada Sambutan Tahun Baru Cina 2016 dan pelancaran Selangor Green Silk di Dewan Hokkien, Klang malam tadi.

SAMBUTAN Tahun Baru Cina 2016 yang dianjurkan oleh PAS Negeri Selangor semalam menyaksikan sambutan yang luar biasa daripada masyarakat tionghua.

Program yang dihadiri sekitar 1,500 orang daripada pelbagai kaum, termasuk kaum Melayu dan India, dirasmikan oleh Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Program tersebut bertambah meriah apabila Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional Dewan Ulamak PAS Negeri Selangor, Ustaz Muhammad Ibrahim mendendangkan lagu Bulan Di Hatiku di dalam bahasa Mandarin.

Ucapan alu-aluan Datuk Iskandar Samad mendapat tepukan gemuruh dan sorakan riuh apabila ucapan beliau disulami bahasa Mandarin.

Ucapan Datuk Seri Tuan Guru Presiden dengan jelas melakarkan kepentingan perpaduan dengan menyokong sebuah kerajaan yang dibentuk dan ditadbir bersama oleh kesemua kaum di Malaysia.

Beliau menekankan bahawa semangat perkauman tidak wujud di dalam Islam.

Malah, beliau menegaskan kewajipan individu untuk memelihara budaya dan bahasa kaum masing-masing.

Jelas sekali, program semalam merupakan sebuah indikasi bahawa PAS Selangor masih mendapat sokongan yang padu daripada akar umbi bukan Islam.

PAS kini telah menjadi sebuah parti yang pendapat sokongan dan dukungan dari segenap masyarakat tanpa mengira kaum, jantina ataupun umur.

Oleh itu, PAS Selangor akan terus mengorak langkah ke dalam komuniti bukan Islam dan memecahkan agenda Islamophobia yang ditanam oleh pihak-pihak berkepentingan.

Pelancaran Program Green Silk malam tadi adalah permulaan bagi projek perintis, yang akan dipimpin oleh Yang Berhormat Dr Halimah Ali, untuk meningkatkan lagi sokongan rakyat bukan Islam kepada PAS.

Melalui projek tersebut, PAS Selangor akan memperkasakan jentera sehingga ke akar umbi untuk menerangkan gagasan yang dibawa PAS kepada rakyat bukan Islam.

Dengan hati yang tekad dan keimanan yang utuh, PAS Selangor akan berusaha merealisasikan impian dan harapan segenap rakyat untuk masa depan negeri Selangor dan negara amnya. - HARAKAHDAILY 24/2/2016

Penulis ialah Ketua Penerangan PAS Negeri Selangor.

Share on Myspace