Pindaan Perlembagaan PAS tonjol identiti Islam (1973)

HARAKAHDAILY | .

PINDAAN PERLEMBAGAAN PAS UNTUK TONJOLKAN IDENTITI ISLAM DILULUSKAN (24 FEBRUARI 1973)

PADA hari ini dalam tahun 1973, Perlembagaan PAS (Pindaan) 1973 yang digubal oleh Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Ke-18 telah diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan (RoS).

Pindaan ini dibuat atas arahan RoS yang mahu semua parti politik tidak menjadikan perkara sensitif sebagai perjuangan mereka.

Menurut Peguam Negara, Tan Sri Abdul Kadir Yusof, PAS dianggap memperjuangkan isu sensitif iaitu agama (Islam) dan perkauman (ketuanan Melayu).

Walaupun PAS menolak anggapan sebegini, PAS telah mematuhi arahan dari RoS supaya PAS meminda perlembagaannya sebelum 30 Jun 1971 bagi mengelakkan tindakan undang-undang.

PAS menjelaskan bahawa 'Melayu' tiada dalam perlembagaannya, sedangkan perjuangan ketuanan Melayu telah berakhir dengan kekalahan usul PAS di Dewan Rakyat. Manakala soal Islam pula, ia tidak menyentuh perkara yang berada di bawah kuasa Raja-raja, sebaliknya ia adalah konsep perjuangan Islam sebagai dasar politik bernegara.

Mengambil kesempatan dari arahan ini, Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Ke-17 pada 18-20 Jun 1971 telah meminda nama dan bendera PAS, selain memperkemaskan dasar dan tujuan perjuangannya ke arah yang lebih Islamik. Elemen utama yang diluluskan RoS dalam pindaan ini ialah:

i. Nama PAS ditukar dari Persatuan Islam Se-Tanah Melayu kepada Parti Islam Se-Malaysia;
ii. Dasar PAS dipertegaskan iaitu Islam;
iii. Bendera PAS ialah Sang Saka Merah Putih dengan bulatan hijau di hujung atas sebelah kiri tanpa tulisan "Allah Muhammad";
iv. Lambang PAS bertukar dari Bulan Bintang kepada bulatan putih berlatar belakang empat segi tepat hijau;
v. Semua unsur ke-Melayuan diganti dengan ke-Islaman; dan
vi. Tujuan PAS dipertegaskan iaitu "memperjuangkan wujudnya di dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah."

Disebabkan pindaan ini, PAS terpaksa tidak lagi menggunakan bendera dan pingat yang tertulis "Allah Muhammad" serta juga lambang Bulan Bintang.

PAS bersetuju supaya kedua-dua elemen yang dicegah oleh kerajaan ini akan digunakan semula oleh PAS "setelah PAS memerintah Malaysia."

Pindaan yang asalnya digubal pada 18-20 Jun 1971 ini sebenarnya telah mengalami beberapa kali ubah suai mengikut kehendak RoS sehingga Jawatankuasa Kerja Agung PAS pada 14 Jun 1972 menyusun semula beberapa perkara, sebelum ia sekali lagi di bawa ke Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Ke-18 pada 28-29 Jun 1972.

Setelah memenuhi semua ketetapan RoS, pada 24 Februari 1973 pendaftar telah meluluskan Perlembagaan PAS (Pindaan) 1973 yang lebih menonjolkan identiti ke-Islaman berbanding ke-Melayuan.

Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
24 Februari 2016 - HARAKAHDAILY 24/2/2016

Share on Myspace