Pelajar Malaysia di Jordan bantu pelarian Syria

ZAINAL ABDUL JALIL | .

IRBID: Sekumpulan 12 orang pelajar Malaysia di Jordan turut memberi khidmat sukarela bagi membantu pelarian Syria sejak 2013 yang menderita setelah melarikan diri ekoran perang saudara di negara mereka sejak 2011.
    
Ahmad Musa Al-Nawayri Kamaruzaman yang sedang menuntut di Universiti Albayt di sini adalah antara pelajar tersebut dengan mereka turut menubuhkan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang diberi nama 'Tangisan Syria Di Bumi Jordan'.
    
Beliau berkata beliau bersama rakan-rakannya akan berada bersama-sama pelarian pada hari mereka tidak mempunyai kuliah iaitu pada Jumaat dan Sabtu.
    
"Keperitan mereka sukar digambarkan. Musim sejuk amat dirasai. Tanpa baju sejuk atau selimut, mereka tidak boleh keluar dari kem-kem kecil mereka," katanya.
    
"NGO yang kami tubuhkan menerima sumbangan khususnya daripada rakyat Malaysia," kata Ahmad Musa kepada Bernama semasa kunjungan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ke kawasan pelarian Mafraq.
        
Mafraq yang terletak di sini iaitu kira-kira 20 kilometer dari sempadan Jordan/Syria menjadi penempatan bagi rakyat Syria.
    
Dianggarkan lebih 1.5 juta pelarian tinggal di sempadan dengan mendirikan kem-kem kecil tanpa kemudahan air dan bekalan elektrik.
    
Semasa kunjungan itu Tuanku Syed Faizuddin yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) berkenan menyerahkan sumbangan bernilai RM100,000 kepada Tangisan Syria Di Bumi Jordan bagi digunakan untuk membantu pelarian.
    
Baginda turut menyerahkan jumlah yang sama kepada pertubuhan yang dikendalikan rakyat Jordan iaitu Awqaf dan sebuah lagi pertubuhan NGO yang dikenali sebagai FTN.
    
Menurut Ahmad Musa, NGO yang beliau selaku pengerusi mengendali 10 kem kecil yang dihuni antara 80 hingga 150 orang yang lebih separuh daripada mereka merupakan golongan remaja dan kanak-kanak.
    
Beliau berkata sumbangan yang mereka terima digunakan bagi membayar sewa kenderaan untuk membawa anak-anak pelarian ke sekolah-sekolah yang disediakan kerajaan Jordan di samping bagi membayar sewa tapak kem kepada tuan tanah sebanyak 200 Dinar Jordan setahun (RM6.22 bersamaan 1 Dinar Jordan).
    
Mereka antara lain menerima sumbangan daripada Aman Malaysia, Malaysia Life Line serta syarikat korporat, katanya.
    
Sementara itu seorang pelarian yang ditemui, Abu Hussein, 45, menerusi jurubahasa berkata dia terpaksa melarikan diri bersama isteri dan lapan orang anaknya pada 2013 kerana tidak tahan menghadapi suasana tegang di negaranya.
    
"Kami tidak boleh pulang walaupun masih ada kampung halaman, tanah dan rumah. Saya berserah kepada Allah walaupun saya merasakan peluang untuk kami pulang adalah tipis," katanya.
    
Ketua Kem Janubi yang dikendalikan Tangisan Syria Di Bumi Jordan, Hassan Akel menyifatkan mereka bukan pelarian tetapi merupakan kumpulan 'Muhajirin' (kumpulan yang berhijrah).
    
Beliau meminta masyarakat Islam seluruh dunia supaya tampil membela rakyat Syria yang teraniaya. - Bernama

Share on Myspace