Presiden PAS gigih jelaskan Islam kepada bukan Islam

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang memetik beberapa ayat suci al-Quran dan dibaca di hadapan masyarakat bukan Islam dan Cina.

Beliau melakukan demikian semasa menghadiri Sambutan Tahun Baru Cina 2016 dan pelancaran Selangor Green Silk anjuran Lajnah Perpaduan Nasional PAS Selangor di Dewan Hokkien, Klang malam tadi.

Berikut ialah catatan Setiausaha Dewan Ulamak PAS Negeri Selangor, Ustaz Muhammad Najhan yang dipetik daripada laman facebook dewan itu.

Kehadiran fullhouse daripada kalangan masyarakat Cina untuk bertemu Presiden PAS. Tuan Guru Presiden memberikan ucapan menerangkan Islam kepada masyarakat Cina dan bukan Islam.

Beliau menjelaskan kesempurnaan Islam dan sikap pendirian Islam terhadap orang bukan Islam dan Cina.

Keadilan yang dibawa oleh Islam dan hak bukan Islam yang dijamin oleh Islam.

Tuan Guru Presiden menyatakan perbezaan penciptaan kaum dan bangsa adalah ciptaan Allah. Maka hak bukan Islam dan mengekali bahasa dan adat mereka adalah jaminan daripada Islam.

Tuan Guru Presiden juga memetik beberapa ayat suci al-Quran dan dibaca di hadapan masyarakat bukan Islam dan Cina.

Tuan Guru menceritakan bahawa terdapat sejarah lama membuktikan bahawa negara China sudah lama melakukan hubungan dengan Islam dan hubungan perdagangan dengan Arab hatta pada zaman Nabi s.a.w. masih hidup.

Sekiranya dalam sejarah pernah melakarkan bahawa negara dan masyarakat Cina dan India pernah menggunakan sistem dan idea sosialis dan kapitalis yang akhirnya sistem ini menindas manusia, kenapa Masyarakat Cina dan India tidak boleh menerima Islam yang ia merupakan sistem hidup yang lengkap.

Tuan Guru mengambil contoh bagi menjelaskan perbezaan antara Melayu dan Islam. Lihatlah negeri yang kuat pegangan Islam seperti Kelantan, Terengganu dan Kedah yang banyak pengajian Islam dan pondok, di mana negeri-negeri ini mengamalkan Islam dan masyarakat Cina dan bukan Islam boleh hidup dengan aman di negeri-negeri ini.

Disebabkan umat Islam yang berpendidikan dan pegangan Islam yang kuat tidak menzalimi bukan Islam. Hatta pada peristiwa 13 Mei, negeri-negeri ini tidak berlaku rusuhan kaum. Inilah Islam. - HARAKAHDAILY 24/2/2016

Share on Myspace