PTMP: Perlukah Pulau Pinang adakan perkhidmatan LRT?

HUZIR SULAIMAN | .

PAS dimaklumkan terdapat satu projek LRT yang sedang dinilai untuk dilaksanakan Kerajaan Negeri Pulau Pinang dari Komtar di Georgetown sehingga ke Lapangan Terbang Bayan Lepas sejauh 17.5KM yang dianggarkan bernilai RM4.5 Billion.

Hampir separuh daripada keseluruhan anggaran kos sebanyak RM9 Billion yang dilaporkan bakal diperuntukkan untuk sektor Pengangkutan Awam di bawah Plan Induk Integrasi Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP).

Kos projek LRT itu juga dilaporkan akan ditampung daripada jualan atau lelongan tanah tambakan laut seluas 1698 hektar yang terletak di hadapan pantai Gertak Sanggul, Teluk Kumbar, Sungai Batu dan Permatang Damar Laut di bahagian selatan pulau itu, lokasi hampir 1700 Nelayan yang sudah sekian lama sejak turun-temurun mencari rezeki daripada hasil tangkapan ikan di lokasi itu.

Perlukah tambakan laut seluas itu di kawasan nelayan untuk menampung kos pembinaan LRT yang jauh lebih tinggi jika terdapat penyelesaian yang lebih murah dan mudah untuk dibina dan diurus selia seperti Sistem Pengangkutan Bus Rapid Transit (BRT) untuk rakyat di Pulau Pinang?

Satu kajian yang dibuat Pejabat Akaun Awam di Washington Amerika Syarikat menunjukkan kos pembinaan BRT hampir 3 - 4 kali lebih murah untuk dibina dan dijaga daripada kos pembinaan LRT.  

Malah kebaikan BRT selain kos adalah laluan bas yang boleh diubah dan ditambah apabila perlu, laluan bas yang boleh meliputi lokasi kediaman dan kerja yang lebih hampir dan luas, infrastruktur yang lebih mudah dan cepat untuk dibina, boleh menampung frekuensi operasi yang lebih tinggi serta kos tambang yang lebih murah kepada rakyat.

Malah kedudukan LRT di lokasi pulau yang dikelilingi air laut boleh mempengaruhi kos penyelenggaraan yang lebih tinggi akibat kesan karat akibat garam laut kepada infrastruktur elektrikal, struktur besi dan aluminium yang akan digunakan untuk menampung operasi LRT sejauh itu khususnya di sepanjang Persiaran Tun Dr Lim Chong Eu.

Kenapa tidak dilaksanakan BRT terlebih dahulu sebagai langkah percubaan sebelum perlaksanaan LRT yang boleh dipertimbangkan kemudian di beberapa lokasi tertentu? lebih-lebih lagi dalam keadaan cabaran ekonomi, defisit belanjawan negeri serta kos sara hidup yang tinggi?

PAS juga ingin mendesak Kerajaan DAP Pulau Pinang agar menyediakan laluan basikal yang lebih banyak di pulau itu untuk dijadikan salah satu alternatif pengangkutan yang lebih mesra alam dan sihat kepada rakyat di Pulau Pinang. Khususnya untuk perjalanan jarak dekat. Secara tidak langsung membantu mengurangkan masalah trafik di pulau itu, seperti yang sudah dilakukan bandar-bandar utama di seluruh dunia, antaranya di Bogota, Conpenhagen dan Paris.

Tahukah anda, jumlah kenderaan bermotor di Asia sudah meningkat lebih tiga kali ganda dalam tempoh 30 tahun ini. Tidak henti-henti membina lebih banyak jalan, lebuh raya malah LRT sekalipun di Pulau Pinang ibarat melonggarkan ikatan tali pinggang untuk mengatasi masalah obesiti.

Oleh sebab itu, pelaksanakan sistem pengangkutan bandar yang mampan seharusnya dijadikan keutamaan kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam memastikan keperluan alam sekitar sentiasa diambil kira di dalam urus tadbir serta perancangan bandar di pulau itu.

Malah  Kerajaan Negeri juga perlu menggalakkan penggunaan sumber tenaga yang boleh diperbaharui serta mewujudkan bandar yang rendah pelepasan karbonnya @ ‘CO2 emission’ agar alam sekitar serta rakyat di pulau itu dapat hidup bersama dengan harmoni.

Melaksanakan projek Tambak Laut seluas ribuan hektar untuk menampung kos projek LRT pada pandangan PAS bukanlah satu sistem perancangan pengangkutan bandar yang mampan. Oleh sebab itu, solusi masalah trafik di Pulau Pinang melalui kaedah itu perlulah ditolak rakyat. – HARAKAHDAILY 24/2/2016

(Penulis adalah Setiausaha Lajnah Asas Tani & Alam Sekitar PAS Pusat Sesi 2015-2017)

Share on Myspace