Menegur keangkuhan Guan Eng, tahniah Azmin

USTAZ MOHD AZAM ABD SAMAT | .

KRITIKAN Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng kerana melucutkan dua Adun PKR dari GLC negeri itu perlu dilihat sebagai sanggahan kepada sikap keterlaluan Guan Eng dalam tindakan politiknya kebelakangan ini.

Keangkuhan Guan Eng itulah sebenarnya menjadi punca keretakan dan perpecahan Pakatan Rakyat sebelum ini. Malah kini beliau merasa dipuncak takhta dengan mengenepikan sesiapa sahaja yang dianggap menghalang cita-citanya.

Kritikan Azmin itu satu langkah berani yang perlu disokong semua pihak supaya keegoan berkuasa sebagaimana ditunjuk Guan Eng diberikan peringatan sewajarnya.

Guan Eng hanya merosakkan imej ahli politik dan meresahkan banyak rakyat yang ketika ini mendambakan politik matang dan sejahtera.

Kami mengharap perkara tersebut yang mendapat perhatian massa ketika ini akan membuka mata dan kesedaran kepada banyak pihak terhadap sikap sebenar Guan Eng.

Budaya berpolitik negara mesti dibebaskan dari sikap-sikap kefiraunan seperti yang ditunjukkan. – HARAKAHDAILY 24/2/2016

Penulis ialah Ketua Pemuda Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah

Share on Myspace