SAM kesal hutan paya bakau di P. Pinang terus diteroka

HARAKAHDAILY | .

LEBIH kurang 500 nelayan pantai di Kuala Sungai Pinang dan Kuala Jalan Baru, Balik Pulau, Pulau Pinang terjejas teruk sumber pendapatan mereka berikutan pelaksanaan projek ternakan udang yang dilakukan secara berleluasa di kawasan itu.
 
Projek tersebut bukan saja memusnahkan beratus ekar kawasan hutan paya bakau yang menjadi tempat pembiakan hidupan laut tetapi juga telah mencemarkan zon tangkapan nelayan-nelayan berkenaan mencari rezeki.
 
Sisa buangan kolam yang mengandungi bahan kimia dibuang ke perairan oleh pengusaha projek ternakan udang telah menyebabkan berbagai spesies hidupan laut yang menjadi sumber tangkapan utama nelayan terbabit telah berkurangan dan pupus. Antaranya ialah ikan sembilang, belanak, pedukang, udang galah, ketam, siput, kerang dan lala.
 
Masalah yang berlaku sejak lebih 10 tahun yang lalu ini telah menyebabkan pendapatan nelayan terbabit merosot dari RM200.00 sehari kepada RM30.00 hingga RM50.00 sehari.
 
Tinjauan SAM dua hari lalu mendapati kira-kira 60 ekar lagi kawasan hutan paya bakau di sini sedang dimusnahkan bagi melaksanakan projek ternakan udang di kawasan tersebut. Projek ini pernah dibantah oleh nelayan tempatan namun ia tidak diberi perhatian serius oleh pihak kerajaan negeri ini.
 
Kami kesal kerana kerajaan Pulau Pinang tidak peka dengan kesan pemusnahan paya bakau kepada alam sekitar dan kehidupan nelayan di negeri ini. Walaupun kesan buruk akibat projek akuakultur di kawasan bakau tersebut sudah lama berlaku namun hingga sekarang tidak ada tindakan berkesan yang diambil.
 
Januari lalu SAM telah menghantar memorandum kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menggesa agar Kerajaan negeri mengambil tindakan menghentikan semua aktiviti pemusnahan hutan paya bakau serta membatalkan semua projek yang dirancang pelaksanaannya di hutan paya bakau kerana ancaman terhadap alam sekitar, sumber perikanan dan kehidupan penduduk tempatan. Antara kajian kes yang dipaparkan ialah projek ternakan udang di Balik Pulau.
 
SAM percaya jika keadaan ini berterusan, nelayan yang terlibat dan keluarga mereka akan terjerumus ke jurang kemiskinan dan menjalani kehidupan yang lebih perit pada masa akan datang.
 
Sehubungan itu SAM menggesa kerajaan Pulau Pinang menjalankan siasatan secara menyeluruh dan mendedahkan kesemua perancangan projek pembangunan akuakultur di kawasan hutan bakau yang dicadangkan di Daerah Barat Daya, Pulau Pinang.

Perjumpaan serta perbincangan perlu dibuat dengan nelayan terbabit supaya isu tersebut dapat ditangani segera dan nasib nelayan pantai adalah dibela.

S.M.MOHAMED IDRIS
Presiden – HARAKAHDAILY 24/2/2016

Share on Myspace