Kerajaan BN makin hilang arah berdepan kemelut PM

ASLANI M | .

KOTA BHARU: Kerajaan Barisan Nasional (BN) dilihat semakin hilang arah apabila harga barangan dan perkhidmatan semakin meningkat sedangkan peluang pekerjaan terus mengecut.

Pengarah Urusetia Belia dan Sukan Negeri Ahmad Fadhli Shaari berkata rakyat berpendapatan rendah berdepan banyak kesukaran kerana silap urus kerajaan.

“Rakyat perlu diberi kesedaran secara menyeluruh selagi kerajaan BN dibiar mentadbir negara, kehidupan rakyat semakin terbeban.

“Apa yang berlaku sekarang kerana kerajaan BN semakin hilang arah setelah berdepan dengan kemelut pentadbiran dan peribadi perdana menteri,” katanya di sini.

Indeks harga pengguna (IHP) dikeluarkan Jabatan Perangkaan bagi Januari 2016 menunjukkan harga barangan lebih tinggi sebanyak 3.5 peratus berbanding Januari 2015.

Malah laporan Matlamat Pembangunan Milenium Malaysia 2015, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mendapati isi rumah berpendapatan rendah paling teruk terjejas akibat pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Fadhli yang juga Ketua Penerangan Pemuda PAS Pusat berkata kerajaan BN tidak mampu lagi menafikan kesan GST banyak menyusahkan rakyat.

“Hari ini kerajaan mengakui bebanan kewangan ekoran kejatuhan harga petroleum diselamatkan GST.

“Sebaliknya risiko GST pun ditanggung rakyat termasuk golongan miskin,” ujarnya. - HARAKAHDAILY 24/2/2016

Share on Myspace