PAS terpaksa sokong pindaan Perlembagaan (1971)

HARAKAHDAILY | .

PAS TERPAKSA MENYOKONG PINDAAN PERLEMBAGAAN DEMI MENGHIDUPKAN DEMOKRASI  (25 FEBRUARI 1971)

PADA hari ini dalam tahun 1971, PAS telah memilih untuk menyokong pindaan Perlembagaan Persekutuan yang menyekat beberapa kebebasan rakyat.

Ia dibentangkan di Dewan Rakyat pada 23 Februari 1971 sebagai satu syarat untuk membolehkan demokrasi dihidupkan semula selepas tragedi 13 Mei 1969.

PAS pada prinsipnya menentang pindaan ini, tetapi memandang penggantungan Parlimen semenjak 1969 mempunyai akibat yang lebih buruk dari pindaan Perlembagaan yang menyekat beberapa kebebasan rakyat.

Akibat dari isu perkauman dan tragedi berdarah pada 1969, sebuah pentadbiran Majlis Gerakan Negara (Mageran) telah dibentuk pada 17 Mei 1969 dan seluruh aktiviti politik, termasuk Parlimen telah digantung.

Pada 30 Ogos 1970, penggantungan ini ditarik balik serentak dengan perisytiharan Rukun Negara, dan diikuti oleh pewartaan pindaan Akta Hasutan 1948 untuk menghalang sesiapa juga mempersoalkan secara terbuka tentang soal kewarganegaraan, bahasa kebangsaan, hak istimewa Melayu dan kedaulatan Raja-raja Melayu.

Lanjutan dari itu, pada 23 Februari 1971, Perdana Menteri, Tun Abdul Razak Hussein telah membentangkan Rang Undang-undang Perlembagaan (Pindaan) 1971 yang bertujuan untuk "menyekat perbincangan awam ke atas perkara-perkara sensitif supaya demokrasi berparlimen dapat berjalan lancar" dan "untuk membetulkan dengan undang-undang beberapa perkara yang tidak seimbang di kalangan kaum."

Pindaan ini akan menyekat rakyat, termasuk wakil rakyat di Parlimen dan Dun dari mempersoalkan perkara kewarganegaraan, bahasa kebangsaan, kedudukan istimewa orang Melayu dan kedaulatan Raja-raja.

PAS pada 23 Februari 1971 telah mengambil pendirian bahawa tindakan kerajaan adalah tidak betul dan tidak tepat dalam memperbaiki kekusutan politik negara ketika itu.

PAS juga mengarahkan Ahli-ahli Parlimennya untuk mengecam dan mendedahkan segala kelemahan dasar Perikatan tetapi semua Ahli Parlimen PAS mesti menyokong akta tersebut. Sokongan ini semata-mata untuk membolehkan demokrasi berparlimen berjalan semula di negara ini.

Rang Undang-undang ini diluluskan pada 25 Februari 1971 dengan sokongan 126 Ahli Parlimen, termasuk 12 wakil PAS, sedangkan wakil DAP dan PPP menentangnya.

Menurut Yang Dipertua Agung PAS, Dato' Mohd Asri Haji Muda, bahawa PAS "terpaksa membayar dengan harga yang mahal untuk kembali kepada parliamentary democracy".

Pimpinan PAS telah menyampaikan teguran PAS kepada Kerajaan Perikatan di Dewan Rakyat pada 24 Februari 1971 sebelum menyokongnya pada 25 Februari 1971.

Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
25 Februari 2016 - HARAKAHDAILY 25/2/2016

Share on Myspace