Harap 3.3: Beri peluang PAS kembali kuasai Terengganu

HARAKAHDAILY | .

MARANG: PAS Terengganu meneruskan agenda mengajak rakyat negeri ini untuk memberi harapan kepada PAS khususnya dalam suasana ekonomi yang sangat parah dengan fenomena pemberhentian kerja oleh syarikat syarikat besar.

Di samping itu, cukai barangan dan perkhidmatan (GST) terus menghambat rakyat tiap kali berbelanja dan yang terbaru isu Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TTPA) yang bakal menenggelamkan dan meranapkan ekonomi negara.

"Negeri Terengganu yang bergantung dengan hasil minyak pasti akan terkesan dengan harga jualan minyak yang terus merudum di pasaran dunia," ujar Pesuruhjaya PAS negeri, Ustaz Saiful Bahri Mamat.

Katanya, kerajaan negeri menerusi Yayasan Terengganu juga telah mengeluarkan kenyataan untuk mengikut jejak langkah pihak JPA untuk tidak lagi menghantar pelajar ke luar negara atas alasan kekangan kewangan kerajaan negeri.

Begitupun, beliau bersyukur kepada Allah SWT kerana sekali lagi PAS negeri dapat menganjurkan siri Himpunan Harapan Semua (Harap) 3.0 yang kali ini Harap 3.3 di Kampung Padang Mengkuang dalam Dun Pengkalan Berangan, Marang.

Menurutnya, PAS negeri telah berjaya mewujudkan momentum baru dalam penganjuran Harap 3.1 di Seberang Takir pada Januari tahun lalu dengan pengenalan program berjalan 10,000 langkah yang akhirnya menjadi trademark di setiap program Harap selepas itu.

"Program itu sekarang ni telah menjadi ikutan oleh pihak kerajaan dan pihak-pihak yang lain," katanya yang juga Adun Paka.

Beliau berkata, program Harap 3.2 yang dianjurkan di Rantau Abang, Dungun pada September tahun lepas telah berjaya menaikkan semangat masyarakat di Dungun khususnya dengan kehadiran puluhan ribu rakyat pada sepanjang program berlangsung.

Justeru, beliau berharap dengan penganjuran program Harap kali ini akan menaikkan momentum rakyat Terengganu khususnya di kawasan Marang dan sekitarnya untuk memberi peluang kepada PAS untuk kembali memerintah dalam PRU14 nanti.

"Kita yakin dengan prestasi yang cemerlang yang telah pernah dilakukan oleh kerajaan PAS Terengganu ketika memerintah pada tahun 1999 lalu boleh diulangi semula sekiranya rakyat memberikan peluang semula kepada PAS," katanya lagi.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat menjayakan Harap 3.3 bermula malam tadi hingga 27 Februari ini sama ada secara langsung mahupun tidak. - HARAKAHDAILY 25/2/2016

Share on Myspace