PTMP: Wajarkah Projek Terowong Laut di P.Pinang?

HUZIR SULAIMAN | .

RAMAI yang tertanya-tanya kenapa Kerajaan Negeri Pulau Pinang memilih terowong laut di bahagian utara pulau sebagai laluan penghubung baru di antara pulau dan tanah besar sedangkan laluan pertama dan kedua adalah melalui jambatan laut? Apa perlunya laluan ketiga itu dan kenapa tidak dibina jambatan ketiga sahaja di lokasi itu?

Sejauhmanakah juga implikasi daripada projek terowong laut ini terhadap alam sekitar serta ancamannya terhadap kedudukan sosioekonomi rakyat terdekat?

Sejauhmanakah tahap keselamatan kepada pengguna ketika menggunakan terowong laut itu?

Bagaimanakah projek terowong laut ini dibiayai?

Faktor Kos

Jambatan pertama mengambil masa 3 tahun untuk dibina. Kos pembinaannya adalah sebanyak RM850 juta. Jarak keseluruhannya adalah sejauh 13.5km. Jambatan kedua pula mengambil masa 6 tahun untuk dibina. Kos pembinaannya adalah sebanyak RM4.5 billion manakala jarak keseluruhannya adalah sejauh 24km. Manakala Terowong Laut seperti yang dilaporkan, akan mengambil masa tempoh 5 tahun untuk dibina, manakala kos anggarannya adalah sebanyak RM3.5 billion serta jarak keseluruhannya adalah sejauh 6.5km.

Secara kiraan kasar, kos sekilometer jambatan pertama adalah RM62 juta/km (Tahun 1982-1985). Kos sekilometer jambatan kedua adalah RM187 juta/km (Tahun 2008-2014) manakala anggaran kos sekilometer untuk Terowong Laut adalah sebanyak RM538 juta/km (Tahun 2016) iaitu hampir 3 kali ganda dari kos jambatan kedua dan 9 kali ganda dari kos jambatan pertama di pulau itu, itupun jika tiada perubahan kos kepada bahan binaan serta kos pengurusan projek menjelang jangkaan tarikh pembinaannya pada tahun 2020.

Kenapa Terowong Laut yang dianggarkan lebih 3 kali ganda kosnya dari jambatan kedua dan 9 kali ganda dari jambatan pertama Pulau Pinang dijadikan pilihan untuk laluan ke-3 di pulau itu oleh Kerajaan Negeri DAP?

PAS dimaklumkan antara sebab-sebab utama perlunya laluan ke-3 di utara pulau itu adalah untuk melegakan kesesakan lalulintas di bulatan BKE/NSE khususnya di sekitar GeorgeTown.

Faktor Alam Sekitar dan Sosioekonomi

Memandangkan laluan Terowong Laut itu dilihat melalui Persiaran Gurney di antara Jalan Kelawei dan Jalan Sultan Ahmad Shah sehingga ke Bagan Ajam Butterworth, termasuk beberapa lebuh raya yang akan bercantum dengan Terowong Laut itu, PAS ingin mempersoalkan implikasi dari projek Terowong Laut itu terhadap pantai terdekat, ribuan penduduk, ratusan rumah kediaman, pusat perniagaan serta kesannya terhadap hampir 1 ribu nelayan pesisir pantai yang terlibat khususnya di Tanjung Bungah, Tanjung Tokong dan Persiaran Gurney di bahagian pulau serta Bagan Ajam di tanah besar.

Faktor Keselamatan

Pelbagai persoalan perlu dibangkitkan Rakyat berkenaan langkah-langkah keselamatan yang akan diambil Kerajaan Negeri serta pemaju ketika Konsultansi/Pendengaran Awam melalui EIA nanti untuk memastikan tahap serta langkah-langkah keselamatan yang tinggi sudah diambil kira oleh pemaju Terowong Laut itu.

PAS tidak mahu beberapa insiden kemalangan seperti  di bawah berulang lagi kepada Rakyat di Negara ini. Antaranya ialah:
1.Julai 2015 - Kebocoran air laut ke dalam terowong di barat Norway selepas lori tangki minyak yang membawa muatan 16 ribu liter petrol melanggar dinding terowong.
2.Dec 2012 – 9 kematian, 2 cedera selepas 150 kepingan panel atap konkrit  terowong seberat 1.2 tan jatuh di atas 3 kenderaan di Sasago Jepun. Terowong ditutup selama 27 hari.
3.Okt 2001 - 10 kematian serta 128 orang dilaporkan hilang akibat kebakaran yang tercetus selepas 2 lori terlibat di dalam kemalangan di terowong Gotthard di Switzerland. Suhu di dalam terowong meningkat sehingga 1000 darjah celcius serta menyebabkan sebahagian dinding terowong runtuh.
4.Mac 1999 – 41 kematian, 52 jam kebakaran di terowong Mont Blanc Eropah selepas sebuah lori yang membawa muatan tepung dan marjerin terbakar.

Kaedah Pembiayaan

PAS dimaklumkan pembiayaan adalah melalui tanah tambakan laut seluas 100 ekar di Tanjung Pinang. – HARAKAHDAILY 25/2/2016

(Penulis adalah Setiausaha Lajnah Asas Tani & Alam Sekitar PAS Pusat Sesi 2015-2017)

Share on Myspace