Jundi: Mahu lahirkan penulis bernuansa Islam

DR RIDUAN MOHAMAD NOR | .

PENUBUHAN Jaringan Penulis Dakwah Tanahair (JUNDI) adalah bermatlamatkan untuk menghimpunkan anak-anak muda yang mempunyai kecenderungan dan bakat untuk menulis.

Kelompok anak muda ini insya-Allah akan dibantu untuk mengasah bakat dan potensi mereka, bagaiamana mereka perlu berinteraksi dalam dunia penulisan dan penerbitan, dan kita juga mengimpikan kelompok penulis Islami ini berada dalam satu wadah ataupun platform yang  boleh menyegarkan minda mereka dan mewujudkan satu persekitaran sosial atau bi'ah solehah sebagaimana kita lihat berjayanya 'Forum Lingkar Pena' (FLP) di Indonesia yang berjaya melahirkan ribuan penulis muda di bawah naungan Partai Keadilan Sejahtera (PKS).

Jaringan Penulis Dakwah Tanahair juga akan merancang dan mempersiapkan beberapa program untuk melahirkan penulis yang mempunyai kecenderungan dan minat yang berterusan kepada dunia penulisan.

Hari ini kita bimbang dengan lahirnya penulis indie yang menggunakan bahasa-bahasa kasar, lucah dan tidak melambangkan watak ketamadunan bangsa Melayu yang bersalut dengan sendi agama. JUNDI akan memperluaskan keahlian mereka kepada anak-anak muda, pekerja awam, sektor swasta dan dalam kalangan mahasiswa.

Kita akan menyalurkan bakat mereka pada penerbitan dan dunia penulisan yang semakin mencabar pada hari ini, terutama di alam siber dengan kemunculan ribuan manusia yang menulis tanpa batasan dosa dan pahala.

Jaringan Penulis Dakwah Tanahair juga akan sentiasa mengadakan bengkel penulisan, pertemuan penulis dengan tokoh penulisan negara ini, menegarakan jaringan juga dengan persatuan penulis negara ini seperti GAPENA, PENA dan lain-lain, dan juga menganjurkan lawatan ke luar negara bagi menambahkan jaringan penulis-penulis di peringkat Antarabangsa.

JUNDI juga akan mengadakan ziarah dan lawatan bertemu dengan penulis-penulis  tersohor tanah air bagi menambahkan minat dan kecintaan kepada dunia buku dan penerbitan.

Dalam masa terdekat ini, pihak JUNDI akan turun ke seluruh negeri di Semenanjung, Sabah dan Sarawak. Di samping mengadakan bengkel penulisan, kita juga akan mencungkil bakat-bakat baru di bidang penulisan.

JUNDI akan membuka penyertaan kepada remaja di peringkat sekolah untuk kita melatih mereka semenjak usia yang masih muda menjadi penulis, dan ini salah satu daripada obligasi sosial JUNDI untuk menjadi sebuah NGO  yang melahirkan generasi muda yang berwatak pemikir, memandangkan negara ini sarat dengan arus hiburan.

Dengan adanya wadah JUNDI ini akan menambahkan lagi NGO Islam yang mengajak kepada perkara-perkara makruf dan mencegah kepada kemungkaran.

Program bersifat wacana, memperingati tokoh juga akan diadakan dari semasa ke semasa, contohnya mengadakan wacana pemikiran As-Syahid Sheikh Hassan Al-Banna, wacana pemikiran As-Syahid Syed Qutb, wacana pemikiran Buya HAMKA, wacana pemikiran Dr Mohamad Nasir, wacana memperingati Almarhum Ustaz Fadhil Mohd Nor, dan wacana memperingati Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Program wacana pemikiran ini bagi menimbulkan penulis-penulis muda yang berfikiran kritis dan analitis. Jaringan Penulis Dakwah Tanahair akan mengadakan program wacana di pelbagai tempat dan kita mensasarkan kepada kelompok kelas menengah Melayu untuk sama-sama memeriahkan dunia buku dan intelektual di negara ini.

Semoga JUNDI menjadi sebuah NGO yang disegani dan mampu menjadi satu elemen semak dan imbang kepada masyarakat kita yang semakin tenat pada hari ini. – HARAKAHDAILY 25/2/2016

Share on Myspace