Cuit hati masyarakat berpaut pada perjuangan PAS

HARAKAHDAILY | .

MARANG: Penganjuran Himpunan Harapan Semua (Harap) 3.3 di Kampung Padang Mengkuang kali ini diharap dapat menyemarakkan semangat bekerja dan memantapkan ukhuwah para pejuang PAS.

Pengarah Harap 3.3, Kamaruzaman Abdullah juga mengharapkan agar program itu dapat mencuit hati seramai mungkin pemuda, pemudi dan masyarakat supaya berpaut kepada perjuangan PAS.

"Harap 3.3 kali ini mencapai objektif yang telah dilakarkan oleh saf kepimpinan parti dengan barakah dan rahmat Ilahi," ujarnya ketika ditemui selepas aktiviti sebelah siang ditangguhkan, petang tadi.

Beliau juga berdoa agar Harap 3.3 menjadi medan latihan kepada seluruh petugas parti dan menjadi gema kepada rakyat Terengganu dan warga kawasan Marang serta mercu perubahan di Dun Pengkalan Berangan kepada parti Islam.

Menurutnya, antara objektif program itu adalah bagi membentuk gelombang kebangkitan rakyat untuk menerima PAS, membentuk persepsi rakyat bahawa Umno BN sudah tidak relevan lagi.

Beliau yang juga Ketua Pemuda PAS negeri menambah, ia juga untuk memberi maklumat dan kesedaran kepada rakyat dan mengajak mereka menolak Umno.

Selain itu, jelasnya Harap kali ini bertujuan untuk menambat hati rakyat menerusi program-program berbentuk kebajikan dan kemasyarakatan di samping memassakan slogan 'PAS Harapan Semua'.

Sebelum ini, Harap 3.1 diadakan di Dun Seberang Takir, Kuala Nerus pada 29 hingga 31 Januari 2015 sementara Harap 3.2 di Dun Rantau Abang, Dungun pada 17 hingga 19 September 2015. - HARAKAHDAILY 25/2/2016

Share on Myspace