Pak Udin Andika: Perginya seorang pejuang

HARAKAHDAILY | .

Sebak mendengar pemergian insan yang banyak memberi sumbangan dalam kemerdekaan negara.

Terimbau kenangan ketika saya menziarahi beliau, kata-katanya menjadi inspirasi dan motivasi kepada saya untuk berjuang dan terus memimpin pemuda khususnya di Perak.

Beliau merupakan ahli PAS yang sentiasa bersemangat sejak dari zaman muda sehingga usia beliau kini yang menjangkau 90-an.

Allahyarham Zainuddin Andika, pejuang yang tidak didendangkan dalam catatan sejarah merupakan antara pejuang awal kemerdekaan.

Berasal dari Sayong, Kuala Kangsar, Perak, insan yang biasa dengan panggilan Pak Udin Andika menyertai Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) di bawah kepimpinan Dr Burhanudin Helmi sejak penubuhannya pada 17 Oktober 1945 dan kemudian memasuki barisan Angkatan Pemuda Insaf (API) bahagian Padang Rengas, Perak.

API telah diasaskan oleh Ahmad Boestamam, Abdul Rahman Rahim dan Bakar Thareek pada 17 Februari 1946 di Ipoh, Perak ditubuhkan bagi mencapai Kemerdekaan bangsa dan tanah air dengan prinsip dan pendekatan tersendiri.

Beliau pernah ditahan ISA pada tahun 1948 di zaman penjajah British selama 4 tahun.

Pak Udin Andika telah kembali ke rahmatullah kerana sakit tua, di rumah beliau Sayong Kuala Kangsar pada jam 6.30 petang semalam.

Allahyarham dijangka dikebumikan sebelum solat Jumaat hari ini. Walaupun beliau telah pergi, namun semangat beliau tetap membugar di hati dan bersemarak di jiwa.

Dewan Pemuda PAS Perak merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Pak Udin Andika.

Semoga Allah menempatkan beliau bersama orang yang beriman dan beramal soleh. Al-Fatihah

AKMAL KAMARUDDIN
Ketua Dewan Pemuda PAS Perak - HARAKAHDAILY 26/2/2016

Share on Myspace