Kaji undang-undang Kelantan untuk laksana syariah (1991)

HARAKAHDAILY | .

PAS SETUJU KAJIAN MENYELURUH UNDANG-UNDANG KELANTAN UNTUK LAKSANA SYARIAH (26 FEBRUARI 1991)

PADA hari ini dalam tahun 1991, Jawatankuasa Pemandu Kerajaan PAS Kelantan telah mengambil persetujuan supaya satu kajian yang menyeluruh dibuat ke atas semua undang-undang yang ada di Kelantan untuk meneliti ruang-ruang perlaksanaan syariat di negeri ini setelah ia diperintah oleh PAS semenjak 21 Oktober 1990.

Isu pelaksanaan syariat merupakan isu utama di Kelantan ketika ini kerana PAS telah memasukkan janjinya dalam manifesto bertajuk 'Membangunkan Bersama Islam' dalam Pilihan Raya Umum 1990.

Manifesto PAS itu telah menyatakan bahawa PAS akan "menegak dan melaksanakan Islam sebagai ad-Diin dan menjalankan pentadbiran secara adil dan saksama untuk kesejahteraan semua rakyat berdasarkan prinsip al-Quran dan Sunnah" dan PAS akan "menjadikan syariat Islam sebagai sumber perundangan tertinggi negara."

Secara khusus di Kelantan, manifesto PAS negeri yang juga bertajuk 'Membangun Bersama Islam' turut menjanjikan perlaksanaan syariat, perundangan dan kehakiman Islam, meminda Perlembagaan Negeri selaras dengan Islam dan melaksanakan dasar dan peraturan Islam dalam pemerintahan.

Ekoran kejayaan PAS membentuk kerajaan pada 21 Oktober 1990, Jawatankuasa Kerja PAS Pusat pada 3 November 1990 telah menubuhkan sebuah Jawatankuasa Pemandu yang dianggotai oleh Ustaz Fadzil Mohd Noor, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Dr Daeng Sanusi Mariok, Cikgu Mustafa Ali, Ustaz Azizan Abdul Razak, Ustaz Nik Abdullah Arshad, Haji Wan Mutalib Embong dan Ustaz Abdul Halim Arshat yang berperanan merancang, menasihat dan mengawasi pentadbiran Kelantan.

Jawatankuasa Pemandu ini kemudiannya pada 30 November 1990 telah menubuhkan pula lima jawatankuasa lain bagi melaksanakan tugas-tugas tersebut iaitu Jawatankuasa Hal Ehwal Luar, Hubungan, Bantuan dan Kepakaran; Jawatankuasa Undang-undang dan Perlaksanaan Syariat; Jawatankuasa Pengesan Pentadbiran Negeri; Jawatankuasa Pembangunan Sosio-ekonomi; serta Jawatankuasa Perancangan, Pendidikan dan Latihan.

Salah satu jawatankuasa terpenting ialah Jawatankuasa Undang-undang dan Perlaksanaan Syariat yang ditugaskan untuk menyemak semua undang-undang di Kelantan, meminda dan menyediakan undang-undang sedia ada dengan syariat dan menggubal undang-undang berasaskan syariat di Kelantan.

Pada peringkat awal ini Kerajaan Kelantan yang dipimpin oleh Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai Menteri Besar tidak memberi fokus kepada perlaksanaan undang-undang syariat, sebaliknya mengambil pendekatan menerapkan Islam secara berperingkat-peringkat.

Jawatankuasa Pemandu Kerajaan Kelantan kemudiannya pada 26 Februari memutuskan supaya kajian menyeluruh dibuat ke atas semua undang-undang yang ada di Kelantan dalam rangka untuk melaksanakan undang-undang jenayah syariah termasuk hudud.

Hasil kajian ini dan penggubalan yang dibuat, pada 24 November 1993, Kerajaan PAS Kelantan berjaya membentangkan Rang Undang-undang Kanun Jenayah Syariah Kelantan II di Dewan Undangan Negeri.

Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
26 Februari 2016 - HARAKAHDAILY 26/2/2016

Share on Myspace