Kemuncup perjuangan: Lima situasi perlu dirawat

NASRUDIN HASSAN | .

Muqaddimah

Andainya wujud situasi negatif pada diri dan jamaah kita, perlu kepada rawatan serta penyelesaian yang serius dan pantas dari setiap individu anggota dan kepimpinan jamaah di pelbagai peringkat.

Lima situasi yang perlu dirawat

1. Isu utama yang berbangkit ialah lunturnya nilai ukhuwwah. Sesama kawan dan anggota jamaah ni, huh bukan main bekeng dan garang. Kata macam-macam, sampai keluar ayat munafik la, hipokrit laa... bla bla, tapi dengan orang lain suku sakat, ermmmn  bukan main lunak, lembut gigi pada lidah, baik boss... beres bosss... bla bla...

Apa boleh buat, bila disoal selidik, usrah khusus kali terakhir yang disertainya ialah 7 tahun lepas. Pas tu, hanya ikut usrah gitu-gitu jer, sesambil mengiringi mesyuarat dan lain-lain. Jangan sampai orang  kata tak ada usrah jer...

2. Isu Kedua besar ialah tindakan dan judgement tidak berdasarkan tabayyun [siasat] maklumat. Hanya hear say jer, terus hukum tanpa lengah. Bangga boleh jatuh hukum atas sahabat. Sikit tak rasa bersalah atas derita dan sengsara sahabat yang dihukum. Mudah mempercayai apa yang orang kata terhadap sahabat dan pimpinan sendiri. Tidak ada thiqah (kepercayaan) kepada pimpinan dan sahabat seperjuangan.

Apa yang diterbitkan oleh whatsapp group dipercayai seratus peratus. Whatsapp sudah jadi mazhab baru (mazhab wasafi) yang mengancam fiqh jamaei. Hilang upaya untuk mengesahkan maklumat dan merujuk kepada jamaah sebaliknya terus menjadi ejen tidak berbayar bagi menyebarkan maklumat yang salah dan palsu.

3. Isu ketiga ialah kegagalan memahami fiqh amal jamaei. Disiplin berjamaah serta adab dan akhlak berjamaah tidak dipelihara. Bergerak one man show. Rasa dia jer bekerja dan orang lain semua lembab. Buat keputusan tanpa syura. Rasa diri hebat dan banyak jasa pada jamaah. Semangat berpasukan terlalu lemah. Sukar menerima teguran.

Lebih malang, berani dan tergamak secara terbuka di khalayak ramai untuk memperkecil dan mempersenda jamaah. Bersekongkol dengan pihak lain untuk memfitnah jamaah sendiri. Kononnya ia adalah pendedahan sensasi dan eksklusif. Rasa seronok melihat jamaah kesusahan mempertahan dan menangkis segala tohmahan. Bangga boleh menyusahkan jamaah.

4. Isu keempat ialah suka bertengkar secara berlebihan. Guna bahasa tanpa lapik. Laser tak menentu. Tak fikir orang lain juga punya perasaan. Main cakap lepas jer. Terbuka depan ramai pulak tu. Sikit-sikit guna facebook, update status dengan kasar dan biadap. Share melalui whatsapp group dan juga melalui twitter atau blog. Rahsia jamaah dan rahsia sahabat jadi tatapan umum dan dikongsikan secara negatif.

Memperbesarkan perkara kecil. Merumitkan perkara mudah. Gemar berpolemik dan menjadikan cybertrooper untuk merealisasikan perilaku songsangnya itu. Melampau-lampau dalam tindakan. Hatinya keras, langsung tidak bersimpati pada rakan seperjuangan apatah lagi mahu bertolak ansur.

5. Isu kelima yang berbangkit ialah tiada tindakan berkesan untuk tangani perkara-perkara di atas. Semua pihak mahu berlepas tangan. Tidak tahu dari mana langkah untuk menyelesaikan. Malas nak fikir. Lantaklah apa nak jadi. Masalah sapu jer masuk bawah karpet. Diri mula rasa give up dan serabut.

Fokus tidak lagi pada matlamat perjuangan tapi pada krisis dan polemik yang dialami. Berasa macam tak dapat pahala pulak berjuang. Sepanjang masa diselubungi syak wasangka. Siang malam duk fikir lepas ni siapa jadi mangsa dan siapa yang akan dimangsakan. Semua nak jadi pemangsa.

Penutup

a) Lima perkara inilah yang menularkan Sindrom Lemah Daya Tahan Penyakit [Aids al Haraki] dalam Gerakan Islam. Akhirnya membawa kepada wabak "gugur di pertengahan jalan perjuangan".

b) Justeru itu, buat semua sahabat dan pimpinan, kembalikan lah asolah (ketulenan) manhaj perjuangan Islam dan serlahkan budaya sebenar sebuah gerakan Islam. Jangan segan dan malu untuk mempamerkan akhlak Harakah Islamiyah meski terpaksa bersaing dengan rentak dan watak parti-parti politik lain si pentas politik tanah air. Jangan kita terikut rentak dan terpedaya dengan lagak mereka.

c) Biarpun dianggap kolot. Dinista sehabis gaya dan dipersenda dengan pelbagai istilah seperti pencandu walak, politik lebai dan 1001 kata caci dibidik ke arah jamaah dan pejuangnya. Usah peduli segala dan usah resah kepala. Bangkit dan terus berjuang di atas manhaj yang betul, dipandu petunjuk Al-Quran dan as-Sunnah, mendada depani cabaran. Damaikan fikiran, tenangkan jiwa dan pastikan benar segala tindakan.

d) Galas matlamat perjuangan kita dengan optimis. Sahut cabaran dengan jiwa yang besar tanpa apologetik dan prejudis. Usah terkesan dengan serangan saraf cybertrooper, sharp shooter dan keyboard warrior. Semuanya itu adalah kemuncup perjuangan. Jangan buang masa kita dengan melayani karenah ini. Fokus kepada cita-cita perjuangan Islam yang memerlukan kita matang bertindak di arena politik. - HARAKAHDAILY 26/2/2016

Share on Myspace