Hartanah rizab Melayu: Aset bangsa yang semakin pupus?

SALKUKHAIRI ABD SUKOR | .

RAMAI kalangan orang Melayu seolah-olah enggan membeli hartanah berstatus Rizab Melayu. Mereka beranggapan hartanah berstatus Rizab Melayu ini terletak dikawasan yang agak pendalaman dan jauh daripada bandar.

Mereka juga mempunyai persepsi bahawa hartanah Rizab Melayu ini rendah dari segi nilaiannya justeru kurang menguntungkan dari segi pelaburan dan susah jika hendak dijual kelak.

Sebenarnya tanggapan di atas adalah tidak tepat. Ia hanyalah momokan daripada segelintir pihak yang cuba menjatuhnilaikan Hartanah Rizab Melayu itu sendiri. Tiada bukti yang menunjukkan secara automatiknya hartanah Rizab Melayu itu murah dari segi nilaiannya.

Nilaian yang rendah bukanlah disebabkan oleh hartanah tersebut berstatus Rizab Melayu semata-mata tetapi disebabkan wujudnya faktor-faktor lain seperti  perancangan pembangunan kawasan tersebut oleh pihak berkuasa negeri, berlakunya bencana alam yang kerap di kawasan tersebut seperti banjir dan sebagainya.

Buktinya lihat sahaja hartanah yang terdapat di Bandar Baru Bangi, Selangor misalnya. Walaupun ia berstatus Rizab Melayu, harganya melambung naik dari tahun ke tahun. Bahkan mungkin lebih mahal lagi nilaiannya berbanding hartanah lain yang bukan berstatus Rizab Melayu.

Kedudukan hartanah Rizab Melayu yang dikatakan terletak di kawasan pedalaman sebenarnya tidak mencerminkan keadaan sebenar hartanah Rizab Melayu tersebut. Tidak dinafikan suatu ketika, mungkin hartanah tersebut terletak di luar kawasan bandar di sesuatu daerah.

Tetapi setelah pembangunan berkembang, tidak mustahil hartanah tersebut menjadi “aset dalam bandar” yang amat berharga. Buktinya, tanah tapak East Coast Mall di Kuantan yang dahulunya terletak di pinggir Bandar Kuantan dan merupakan Tanah Rizab Melayu, kini menjadi kawasan komersial yang membangun di Bandar Kuantan.

Sebagai Orang Melayu, saya menyarankan agar kita semua membeli dan memiliki hartanah yang berstatus Rizab Melayu. Saranan saya ini bukanlah atas sentimen perkauman semata-mata, tetapi berdasarkan asas-asas yang kukuh seperti berikut:-

1.Jika kita enggan beli hartanah Rizab Melayu sekarang, tidak mustahil suatu hari nanti ia boleh terlepas kepada kaum bukan Melayu. Hal ini kerana, walaupun dari segi undang-undang, kaum bukan Melayu tidak boleh memiliki hartanah Rizab Melayu, tetapi sekiranya mana-mana pihak memohon agar Tanah Rizab Melayu itu dilucutkan statusnya kepada bukan Rizab Melayu, Kerajaan Negeri boleh meluluskan permohonan tersebut.

Sungguhpun disyaratkan ia mesti digantikan dengan tanah kerajaan yang lain, tetapi tidak mustahil mungkin akan berlaku dari segi perlaksanaannya tanah-tanah yang tidak diganti. Jika tidak masakan rekod menunjukkan jumlah keluasan Tanah Rizab Melayu di negara kita semakin berkurangan.

2.Pembangunan sosio masyarakat kaum Melayu yang sinonim dengan agama Islam, lebih mudah dapat dibangunkan di dalam kawasan Hartanah Rizab Melayu. Hal ini kerana sudah pasti majoriti penduduk di dalam suatu kawasan Rizab Melayu itu adalah terdiri daripada kaum Melayu.

Maka proses penyatuan kaum dan ummah itu lebih mudah dapat dilaksanakan. Misalnya melalui pembinaan masjid dan pusat aktiviti masyarakat yang sudah pasti akan melibatkan kaum Melayu dan umat Islam. Secara tidak langsung ukhuwah Islam akan dapat dikukuhkan dan agama Islam dapat diamalkan dengan lebih baik.

3.Selain itu, peluang ekonomi kaum Melayu dan umat Islam juga dapat ditingkatkan sekiranya orang Melayu membeli Hartanah Rizab Melayu, khususnya hartanah komersial. Kita dapati peluang perniagaan untuk kaum Melayu di kawasan-kawasan bandar besar semakin berkurang.

Mereka tidak dapat bersaing dengan kaum Bukan Melayu di bandar-bandar besar. Bukan disebabkan mereka tidak ada bakat berniaga, tetapi disebabkan peluang-peluang perniagaan telah direbut oleh kaum bukan Melayu.

Justeru pemilikan kaum Melayu ke atas hartanah komersial berstatus Rizab Melayu dapat membuka peluang perniagaan kepada kaum Melayu dan umat Islam. Akhirnya, ia dapat membangunkan ekonomi umat Islam secara keseluruhan. Dengan syarat peluang perniagaan yang ada tidak di “ali babakan” kepada kaum bukan Melayu atau bukan warganegara Malaysia.

4.Sekarang ini saya lihat banyak syarikat pemaju bukan Melayu telah mula memajukan Tanah Rizab Melayu. Mereka menggunakan proksi dalam kalangan Orang Melayu melalui dokumentasi perundangan yang dicadangkan oleh peguam mereka untuk tujuan membangunkan Tanah Rizab Melayu.

Walaupun saya secara peribadi tidak bersetuju dengan pendekatan tersebut yang seolah-olah dilihat menyalahgunakan prosedur perundangan, tetapi dari satu segi saya fikir ia berlaku disebabkan oleh syarikat Pemaju Melayu atau syarikat berstatus bumiputra yang diwujudkan melalui anak syarikat kerajaan itu sendiri tidak mampu untuk mebangunkan Tanah Rizab Melayu.

Tidak dinafikan, mungkin ada syarikat bumiputra Melayu yang berbuat demikian, tetapi jumlahnya masih kecil dan boleh dibilang dengan jari sahaja. Justeru, pentingnya kaum Melayu mempunyai kemampuan bukan setakat memiliki tanah Rizab Melayu tetapi juga kemampuan membangunkan Tanah Rizab Melayu itu sendiri supaya survival hak milik orang Melayu akan terus kekal selamanya.

5.Pemilikan Tanah Rezab Melayu juga perlu dikekalkan dalam kalangan Orang Melayu untuk mempastikan Orang Melayu Islam mampu memiliki aset hartanah sendiri. Bahkan boleh diwariskan kepada generasi akan datang. Lihat sahaja senario yang berlaku hari ini iaitu realitinya kaum Melayu masih terkebelakang dari segi pemilikan hartanah sendiri berbanding kaum lain.

Dengan adanya Hartanah Rezab Melayu ini dapatlah memberi peluang kepada anak-anak Melayu memiliki hartanah sendiri. Dan ia juga secara tidak lansung dapat mengawal harga hartanah tersebut daripada dimanipulasi oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.

Lihat sahaja hartanah di negeri Kelantan misalnya. Memang diakui, walaupun syarat pemilikan Tanah Rizab Melayu di Kelantan agak ketat, tetapi langkah tersebut dapat memberi peluang kepada lebih ramai anak-anak Melayu tempatan memiliki hartanah sendiri dengan harga yang masih lagi munasabah berbanding negeri-negeri yang lain.

Oleh hal yang demikian, saya berpendapat perlu kita sebagai Orang Melayu dan umat Islam mengambil serius tentang perkara ini. Ia bukan sekadar satu kemestian, tetapi juga bolehlah kita katakan sebagai satu Fardhu Kifiyah kepada umat Islam untuk memelihara dan memiliki Hartanah Rizab Melayu.

Di samping itu, pihak kerajaan negeri wajib juga memainkan peranan yang besar dalam mempastikan pemeliharaan dan pembangunan Hartanah Rizab Melayu itu dapat dilaksanakan dengan jayanya. Polisi-polisi yang ketat berdasarkan peruntukan undang-undang di dalam Enakmen Tanah Rizab Melayu Negeri-negeri hendaklah dikuatkuasakan.

Ini untuk mempastikan Hartanah Rezab Melayu terus kekal dimiliki oleh Orang Melayu dan dapat diwariskan kepada anak-anak bangsa kita sendiri pada masa-masa akan datang. – HARAKAHDAILY 26/2/1016

Penulis ialah Presiden Persatuan Guaman Haratanah Malaysia (HartaGuam)

Share on Myspace