Kerajaan digesa wujudkan galeri khas pejuang negara

AMIRUL MOHD SAJADI | .

KUALA LUMPUR: Tanya sahaja remaja masa kini, siapa itu Tun Tan Cheng Lock? Siapa itu Tun Sambanthan? Semestinya ramai dalam kalangan mereka akan terpinga-pinga.
    
Walhal, nama-nama ini terpampang di jalan-jalan utama di ibu negara.
    
"Berapa ramaikan masyarakat di luar sana, tahu siapakah mereka ini? Apakah sumbangan mereka sehinggakan nama mereka diabadikan di setiap jalan utama di ibu kota?" Soal Sejarawan Negara Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim.
    
Mengakui kecewa dengan kealpaan rakyat yang semakin tenggelam dalam arus kemodenan sehingga menjadi begitu 'jahil' mengenai sejarah negara, beliau menggesa langkah segera diambil kerajaan.
    
Ini termasuk mewujudkan sebuah galeri khas pejuang negara, sepertimana pernah diwujudkan Muzium Sejarah Nasional satu ketika dahulu.
    
"Galeri ini haruslah menempatkan bukan hanya pejuang negara yang berjuang pada zaman British sahaja... tetapi ia harus meliputi tokoh pelbagai bangsa yang banyak beri sumbangan kepada masyarakat bermula zaman Kerajaan Melayu lama sehingga hari ini.

"Contoh kalau boleh, karektor masa kini yang turut boleh dimuatkan dalam galeri itu termasuk Tan Sri Lee Lam Thye yang banyak menyumbang dari segi pencegahan jenayah," katanya kepada Bernama.
    
Dalam merealisasikan penubuhan itu, beliau mengajak pihak universiti, sejarawan dan Jabatan Sejarah Malaysia untuk duduk bersama membuat penyelidikan bagi mendapatkan fakta sebenar mengenai sejarah.
    
Ini juga bagi mengelak kekeliruan, disebabkan terlalu banyak fakta pelbagai di dalam internet.
    
"Tanpa penyelidikan, masyarakat mudah terkeliru dan berkemungkinan apa yang difahami mereka akan bertentang dari fakta atau peristiwa sejarah yang sebenar," katanya.
    
Turut senada dengan Khoo ialah Pegarah Pusat Kajian Institusi Raja Malaysia Universiti Malaysia Perlis Prof Datuk Dr Ramlah Adam yang menarik perhatian bahawa galeri seperti itu mampu meningkatkan semangat nasionalisme dalam kalangan masyarakat.
    
"Walaupun di setiap negeri ada muzium mereka sendiri, tetapi ia tidak mencakupi seluruh sejarah Malaysia dan hanya memfokuskan kepada sejarah negeri terbabit sahaja," katanya.
    
Beliau berpendapat galeri berkenaan sekiranya diwujudkan perlu memasukkan fakta mengenai pejuang negara yang kurang disebut.
    
Ini, menurutnya termasuk perjuangan Ishak Haji Muhammad atau lebih dikenali sebagai 'Pak Sako' yang menentang penjajah melalui penulisannya dalam karya seperti 'Anak Mat Lela Gila' dan 'Putera Gunung Tahan'.
    
Ramlah berkata galeri itu haruslah dibuat di kawasan yang menjadi tumpuan orang ramai dan pelancong.
    
"Dengan kewujudan galeri berkenaan, ia dapat menangkis segala salah faham dan sekali gus menyelamatkan sejarah negara kita dari terus luput ditelan zaman," katanya. - Bernama

Share on Myspace