Sokong perkemaskan institusi mahkamah syariah

HARAKAHDAILY | .

Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menyatakan sokongan terhadap langkah bagi memperkemaskan lagi institusi mahkamah syariah di negara ini.

Ini termasuklah berkait dengan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) bagi membolehkan perlaksanaan hukuman syariah Islam dapat dilaksanakan.

Ia adalah satu pendekatan yang seharusnya mendapat sokongan daripada pelbagai pihak.

Kita perlu bergerak satu langkah kehadapan bagi menangani pelbagai cabaran dan rintangan yang semakin dahsyat.

PAS adalah sebuah gerakan Islam yang mengambil jalan siasah sebagai medan perjuangannya dalam menegakkan ajaran Islam yang sempurna dan akan terus konsisten dengan agenda untuk memastikan syariat Islam yang sarat dengan kebajikan dan keadilan itu dapat ditegakkan di bumi Malaysia ini.

DPPM juga akan terus berusaha menyampaikan penerangan kepada masyarakat beragama Islam mahupun bukan beragama Islam supaya mereka dapat memahami bahawa syariat Islam adalah sebuah cara hidup yang menyelamatkan manusia daripada permasalahan kehidupan, tidak seperti yang telah disalah anggap oleh sesetengah pihak.

Ini juga adalah berteraskan kepada budaya politik matang dan sejahtera, satu gagasan bagi mengembalikan keyakinan masyarakat keseluruhannya terhadap kewibawaan Islam sebagai pemerintah.

NIK MOHAMAD ABDUH NIK ABDUL AZIZ
Ketua DPPM / Ahli Parlimen Pasir Mas - HARAKAHDAILY 26/2/2016

Share on Myspace