Pemutihan tidak selesaikan lambakan pekerja asing

HARAKAHDAILY | .

Setelah kerajaan melaksanakan Program 6P pada 2011, seramai 521,734 pekerja asing didaftarkan sehingga penghujung 2014.

Kini kerajaan melaksanakan Program Penggajian dan Penempatan Semula Pendatang Asing Tanpa Izin ( PATI ) yang diumumkan Perdana Menteri secara rasminya dijalankan mulai 15 Februari lepas dengan jangkaan seramai 2 juta pendatang asig tanpa izin (Pati) berhasil didaftarkan serta dikekalkan bekerja di dalam negara.

Rasionalnya bagaimana kerajaan hendak menguruskan keseluruhan pekerja asing yang berjumlah 6.7 juta orang dengan hanya yang berdaftar seramai 2.1 juta orang?

Jika pemutihan ini berjaya dilaksanakan kerajaan, masih lagi terdapat lambakan pekerja asing yang terdapat di dalam negara yang diketahui melebihi keperluan dalam semua sektor pekerjaan dalam negara.

Ini tidak termasuk lagi kemasukkan 1.5 juta warga Bangladesh seperti yang diumumkan baru-baru ini dan juga masih lagi terdapat Pati yang cuba memasuki negara melalui pelbagai cara.

Persoalan kepada kerajaan ialah bagaimana kerajaan hendak mengurangkan jumlah Pati dan pekerja asing sesuai dengan keperluan semasa dalam negara.

Daripada 2.1 juta orang sahaja yang berdaftar, bagaimana kerajaan dapat memastikan samada Pati mahupun majikan mematuhi program pendaftaran yang dilaksanakan.

Pemutihan bermaksud mengekalkan Pati dengan mendaftar supaya berkerja sebagai sah, dalam erti lain jika keseluruhan Pati berjaya didaftar jumlahnya tetap sama seperti yang ada sekarang.

Natijahnya jumlahnya tetap sama, apa yang dimahukan keseluruhan rakyat ialah kurangkan jumlah pekerja asing serta Pati di dalam negara.

Sehingga penghujung tahun 2015 dari Januari sehingga November, seramai 222,647 telah diusir pulang ke negara masing-masing.

Jika diambil kira berdasarkan jumlah keseluruhan Pati, masih ramai lagi yang terdapat didalam negara. Yang jelas lambakan ini meresahkan rakyat jelata dari segenap sudut termasuk persaingan kepada anak tempatan untuk mendapatkan pekerjaan.

Kesan lambakan pekerja asing ini jelas dilihat pada cuti umum seperti hari Ahad atau hari-hari perayaan seperti Tahun Baru Cina baru-baru ini di KLCC yang mana jelas seolah-olah mereka kelompok majoriti di kawasan tersebut.

PAS tidak menolak program pemutihan pekerja asing yang dijalankan sekarang namun dalam masa yang sama jumlah keseluruhan pekerja asing yang ada di dalam dalam negara harus dikurangkan hingga jumlah yang tinggal benar-benar memenuhi keperluan semasa  dalam negara. Tiada guna dijalankan pemutihan tetapi jumlah mereka tetap sama hingga melebihi keperluan semasa dan tenaga kerja dalam negara.

Kerajaan perlu bersedia menerima hakikat masih ramai rakyat tempatan yang tidak ada kerja terutama di dalam suasana ekonomi semakin merudum. Rakyat mesti didahulukan.

USTAZ IDRIS AHMAD
Naib Presiden PAS / Ahli Parlimen Bukit Gantang
26 Februari 2016 - HARAKAHDAILY 26/2/2016

Share on Myspace