Warga emas ceria dikunjungi pasukan perubatan Harap

HARAKAHDAILY | .

MARANG: Kunjungan pasukan perubatan sempena Himpunan Harapan Semua (Harap) 3.3 menceriakan seorang warga emas, Zafiah Hussin, 65, dari Kampung Binjai Rendah, petang tadi.

Beliau yang mengalami penyakit angin ahmar, kencing manis dan darah tinggi gembira menerima kunjungan Pengerusi Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan Muslimat PAS negeri, Tuan Roslina Tuan Sulaiman pada program ziarah sempena Harap 3.3 yang diadakan di Kampung Padang Mengkuang.

Selain diberikan ubat setelah dilakukan pemeriksaan, beliau juga dihadiahkan sedikit sumbangan berupa barangan makanan.

Menurut Tuan Roslina, lawatan bersama 20 doktor dari Persatuan Perubatan Ibnu Sina (Papisma) ke rumah pesakit dalam Dun Pengkalan Berangan itu adalah sebahagian daripada aktiviti PAS sempena Harap kali ini.

“Alhamdulillah kita ziarah sebanyak 20 buah rumah bersama dengan doktor dan juga pimpinan muslimat negeri dan isteri-isteri wakil rakyat dari seluruh negeri," ujarnya.

Jelasnya, tujuan program ziarah itu adalah untuk memasyarakatkan PAS.

"Kita pergi ke rumah untuk dekati masyarakat semua golongan sama ada PAS atau Umno dan semua rakyat negeri Terengganu ini," ujarnya lagi. - HARAKAHDAILY 26/2/2016

Share on Myspace