Tuan Guru Haji Yaakub Berangan ditahan ISA (1964)

HARAKAHDAILY | .

TUAN GURU HAJI YAAKUB BERANGAN DITAHAN ISA (27 FEBRUARI 1964)

PADA hari ini dalam tahun 1964, ahli Dewan Ulamak PAS Kelantan, Tuan Guru Haji Yaakub Ishak atau lebih terkenal dengan gelaran Tok Guru Haji Kob Berangan telah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) atas tuduhan memecahbelahkan masyarakat melalui fatwa kafir-mengkafir.

Tuan Guru Haji Yaakub yang juga Mudir Pondok Berangan, Tumpat telah dituduh mengkafirkan orang-orang Perikatan atas sebab berkongsi dengan orang kafir dalam urusan politik tanpa mengikut kaedah kerjasama politik yang ditetapkan oleh syariat sehingga timbul masalah redha atau walak kepada kekafiran.

Tuan Guru Haji Yaakub yang dilahirkan di Kampung Kelong, Tumpat pada 1912 telah mendapat pendidikan agama di bawah bimbingan beberapa ulama termasyhur di Kelantan dan Pattani sebelum beliau membuka Pondok Berangan pada 1942.

Antara guru-guru beliau ialah Tok Selehor, Tok Guru Dala, Tuan Guru Haji Hassan Mak Enggol, Tuan Guru Haji Ali Solahuddin Pulau Pisang, Tuan Guru Haji Hussein Rahimi Mat Saman dan Tuan Guru Haji Abdullah Tahir Ahmad Bunut Payung yang merupakan ulamak-ulamak terbilang di Tanah Melayu pada separuh pertama abad ke-20.

Mengiktiraf keilmuan Tuan Guru Haji Yaakub ini, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) telah melantik beliau menggotai Majlis Ulamak MAIK, iaitu badan ulamak tertinggi di Kelantan.

Isu kafir-mengkafir telah timbul di Kelantan pada 6 Ogos 1963 ekoran huraian Tuan Guru Haji Umar Daud berkaitan masalah mengangkat dan meredhai orang kafir menjadi pemimpin ketika menafsirkan ayat 44, 45 dan 47 Surah al-Maidah.

Menurut Tuan Guru Haji Umar, kerjasama politik dengan orang kafir yang membawa walak dan keredhaan bukan sahaja dihukumkan haram, tetapi boleh merosakan aqidah.

Ekoran dari ulasan yang dikatakan 'fatwa' ini, beberapa ulama PAS termasuk Tuan Guru Haji Umar telah ditahan ISA pada 9 November 1963.

Turut ditahan ISA ialah Tuan Guru Haji Mohd Nor Abdullah Teliar, Tuan Guru Haji Daud Othman Kubang Pak Amin, Tuan Guru Haji Sulaiman Omar (Tok Ayah Pak Man) Simpang Tiga Berangan, Ustaz Nik Abdullah Arshad Panchor dan Tuan Guru Haji Che Hassan Ismail Lemal, selain beberapa pemimpin PAS seperti Haji Saufi Idris (Adun Kota Bharu Timur) dan Che Ismail Che Abdullah atas tuduhan "menimbulkan huru-hara di kalangan orang ramai".

Tuan Guru Haji Yaakub  yang juga merupakan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Tumpat telah ditahan ISA pada 27 Februari 1964 atas tuduhan yang sama dan dibebaskan pada 24 Disember 1964 setelah ditahan selama 10 bulan.

Kenyataan Tuan Guru Haji Yaakub ketika dalam soal-siasat polis telah digunakan oleh KDN dalam kertas putih bertajuk 'Ancaman Kepada Perpaduan Umat Islam dan Keselamatan Negara' yang diterbitkan pada 8 November 1984 untuk mengaitkan PAS dengan isu kafir-mengkafir.

Walaupun menerima tekanan hebat sepanjang menjadi tahanan politik, Tuan Guru Haji Yaakub bukan sahaja terus istiqamah bersama perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS sehingga akhir hayatnya pada 3 Mac 1990, tetapi salah seorang anaknya, Ustaz Dato' Haji Ahmad Yaakub telah menjadi pemimpin kanan PAS selaku Timbalan Mursyidul Am PAS, bekas Pemangku Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat dan Pesuruhjaya PAS Kelantan.

Kini, putera beliau itu adalah Menteri Besar Kelantan menggantikan Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat sejak 2013.

Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
27 Februari 2016 - HARAKAHDAILY 27/2/2016

Share on Myspace